suria

PR Ambil Sikap Terbuka Syor Najib Adakan Perhimpunan Dalam Stadium

PETALING JAYA: Tiga parti komponen dalam Pakatan Rakyat - PAS, DAP dan PKR - kini mengambil sikap terbuka kepada cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di dalam stadium.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan lewat petang Selasa, PAS, DAP dan PKR berkata, mereka terbuka kepada cadangan itu asalkan hak mereka untuk berhimpun secara aman dihormati.

“Pakatan ingin menegaskan di sini bahawa tuntutan pembaharuan dalam sistem pilihan raya agar ia lebih bersih, telus dan adil masih kekal menjadi matlamat utama mengapa perhimpunan ini hendak diadakan," kata kenyataan itu yang ditandatangani oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Kerja DAP, Teresa Kok.

Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru kepada semua rakyat jelata, di dalam keghairahan berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara ini, mereka juga hendaklah memastikan bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara. "Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

"Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

"Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran", kata Seri Paduka. Hakikatnya, titah Tuanku Mizan, demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

"Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

"Itulah pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara," titah Seri Paduka lagi.

Dalam reaksi segera pada Isnin, Najib mengesyorkan agar perhimpunan itu diadakan di dalam stadium sebagai satu alternatif.

Artikel Lain