suria

Polis, Tentera Akan Bekerjasama Hadapi Perhimpunan Haram Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghadapi kemungkinan berlaku sebarang kejadian tidak diingini pada perhimpunan haram yang dirancang pada Sabtu ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid berkata bagaimanapun khidmat ATM akan digunakan berdasarkan kepada keperluan. "Kita akan tengok, kalau diperlukan kita akan panggil ATM untuk membantu bagi menjaga ketenteraman awam," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Demonstrasi Ketenteraman Awam sempena Eksesais Bersatu Aman 2/2011 di antara ATM dan PDRM di Kem Sungai besi di sini, Selasa.

Demonstrasi itu melibatkan kekuatan 120 anggota Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan 120 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta lintas hormat pesawat dari Pasukan Unit Tentera Darat (PUTD) dan Unit Udara PDRM.

Beliau berkata demonstrasi ini pertama kali dipertontonkan kepada umum sebagai perintis kerjasama antara PDRM dan ATM yang telah wujud sejak tahun 2008 lagi, dan ianya tidak mempunyai kaitan langsung dengan perhimpunan haram Sabtu ini.

"Tidak ada kaitan langsung demonstrasi ini dipertontonkan kerana perhimpunan haram...kita buat demonstrasi ini sebab ingin menghargai Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011, yang kami terima (PDRM dan ATM)," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain