suria

Polis Rampas Dadah Bernilai RM1.8 Juta

SHAH ALAM: Polis merampas 7.1 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.8 juta dalam tangkapan berasingan membabitkan dua lelaki Nigeria yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata tangkapan pertama dilakukan pada 1 Julai kira-kira pukul 4.50 petang daripada seorang lelaki berusia 34 tahun yang membawa 4.1kg syabu yang disembunyikan di dalam sebuah bagasi.

"Suspek yang baru tiba dari Afrika memberi alasan masuk ke negara ini kerana mahu menghantar beg yang dibawa kepada kawan," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Selasa.

Beliau berkata suspek kedua pula berusia 24 tahun, ditahan kira-kira pukul 9.35 pagi semalam dengan memberi alasan mahu membeli barangan elektronik di negara ini.

Katanya sebaik pemeriksaan, polis menemui 3kg syabu disembunyikan di dalam beg bimbit milik suspek terbabit yang baru tiba dari Ethopia.

Tun Hisan berkata kedua-dua suspek bekerja sebagai penjual pakaian di negara asal mereka dan pertama kali masuk ke negara ini.

Beliau berkata polis menganggarkan jumlah rampasan syabu daripada kedua-dua suspek itu boleh menampung bekalan kepada kira-kira 24,000 penagih syabu.

"Kedua-dua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman sehingga 9 dan 10 Julai ini," katanya.

Tun Hisan berkata sehingga 17 Jun lepas, sebanyak 43 kes tangkapan dicatatkan membabitkan rampasan 151.1kg dadah dan daripada jumlah itu, seramai 37 lelaki serta 11 wanita ditahan di KLIA. -BERNAMA

Artikel Lain