suria

Perkasa Pertikai Tindakan Ambiga Menghadap Agong

KUALA LUMPUR: Datuk S.Ambiga tidak harus dibenarkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung perhimpunan haram yang hendak dianjurkannya memandangkan pertubuhan yang diketuainya adalah tidak sah, kata Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali memberitahu Bernama hari ini bahawa Ambiga sepatutnya patuh kepada titah Seri Paduka Baginda supaya membatalkan perhimpunan yang dicadangkan itu tanpa perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Katanya tujuan Ambiga mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong kononnya bagi mendapat titah supaya beliau membatalkan perhimpunan haram itu semata-mata untuk mengabui mata rakyat kerana selepas itu, kumpulan berkenaan akan mendakwa ia berjaya dalam "perjuangannya".

"Kenapa perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong? Kumpulan ini tidak sah. Juga (jika dibenarkan menghadap) ia akan menjadi ikutan kurang baik serta mempersendakan institusi diraja," kata Ibrahim.

Dalam satu titah khas pada Ahad lepas, Tuanku Mizan meminta semua pihak membatalkan hasrat masing-masing menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.

Perkasa dan satu lagi kumpulan dikenali Patriot, yang bercadang mengadakan perhimpunan bagi menghalang perhimpunan oleh kumpulan diketuai Ambiga itu, mengumumkan keputusan masing-masing untuk patuh kepada titah Seri Paduka Baginda.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Syed Anuar Syed Mohamad berkata titah Yang di-Pertuan Agong adalah tepat dan membuktikan bahawa kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan Seri Paduka Baginda.

"Gagasan menjunjung kasih dan menghargai kecaknaan Yang di-Pertuan Agong yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

"Gagasan meminta semua pihak agar mentaati titah Seri Paduka yang tidak bersetuju menjadikan demonstrasi jalanan sebagai penyelesaian masalah dan tuntutan atas apa jua alasan," katanya.

Pengerusi Belia 4B Selayang, Roslan Basaruddin, berkata bahawa apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah, ianya merupakan satu perintah kepada rakyat supaya mentaatinya.

"Yang di-Pertuan Agong ini adalah Ketua Negara. Baginda menitahkan supaya demonstrasi jalanan tidak diteruskan kerana ia akan memberi kemudaratan kepada rakyat dan juga merosakkan imej negara di mata dunia.

"Ambiga faham akan titah Baginda tetapi beliau telah diperkudakan pihak ketiga," katanya.

Presiden Majlis Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi pula berkata titah Yang di-Pertuan Agong itu perlu diberi perhatian oleh serius semua pihak.

"Kalau Seri Paduka Baginda dah menitahkan bahawa demonstrasi itu banyak keburukannya, mengapa masih perlu nak berdemonstrasi? Mesej yang disampai Yang di-Pertuan Agong itu cukup jelas, dan tidak perlu bagi Ambiga menggadap Baginda," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain