suria

Pembunuhan Banting: Suami Saya Mahu Selamatkan Sosilawati - Saksi

SHAH ALAM: Isteri kepada pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad yang mati akibat dibunuh, mengakui bahawa dia marah dengan tindakan suaminya membantu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya sehingga sanggup meninggalkan keluarga selama tiga hari.

Suzana Radin Pangat, 39, memberitahu, suaminya ada menghubunginya selepas berbuka puasa pada 30 September 2010 memaklumkan bahawa dia tidak akan pulang kerana mahu cuba menyelamatkan Sosilawati yang didakwa diugut oleh pemandunya dikenali sebagai Kamal untuk menyebarkan gambarnya dalam keadaan tidak elok.

Percakapan saksi pendakwaan kelapan itu kemudiannya tersekat-sekat kerana menahan esakan.

''Dia minta saya faham dan minta maaf pada saya banyak-banyak. Dia kata dalam tiga hari akan balik dan akan ceritakan apa berlaku.

"Saya tanya dia di mana tapi dia tak jawab dan terus matikan telefon,'' katanya pada Selasa di Mahkamah Tinggi di sini.

Suzana yang merupakan pembantu peribadi di ibu pejabat CIMB Jalan Raja Laut juga memberitahu, Noorhisham seperti dalam keadaan mahu cepat semasa membuat panggilan tersebut kerana tidak menjawab pertanyaannya di mana mangsa berbuka puasa.

''Selepas diputuskan talian, saya hantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berbunyi kenapa dia sanggup nak bantu orang tapi tinggalkan saya dan anak-anak selama tiga hari,'' katanya semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff. Katanya, semasa itu, dia berasa marah kerana tidak boleh menghubungi mangsa.

Ditanya mengenai reaksi Noorhisham selepas SMS dihantar, Suzana menjawab: ''Dia ada telefon, tapi saya tak jawab.''

Pada keterangan lain, Suzana memberitahu, kali terakhir mereka berjumpa adalah semasa mangsa menghantarnya ke pejabat pada pagi hari mangsa dilaporkan hilang.

Pasangan tersebut berkahwin pada 20 Oktober 1995.

Suzana yang mengangkat sumpah pada pukul 12.30 tengah hari dalam nada suara tersekat-sekat, bagaimanapun bertegas mahu meneruskan keterangannya.

Artikel Lain