suria

NGO Serah Memorandum Bantahan Kepada Kedutaan Greece

KUALA LUMPUR: Lima badan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti politik pada Isnin menyerahkan memorandum bagi membantah tindakan kerajaan Greece menghalang kapal-kapal Misi Kemanusiaan International Freedom Flotilla 2 yang berlabuh di pelabuhan negara itu daripada belayar ke Gaza.

NGO berkenaan ialah Life Line for Gaza (LL4G), Islamic Party Of Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ehsan Malaysia (Al-Ehsan), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Aman Malaysia Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas) serta Umno.

Memorandum itu diserahkan oleh Setiausaha LL4G Hishamuddin Hashim, yang diiringi 100 anggota NGO dan Umno, kepada wakil Kedutaan Greece Emmanuel Niotis di kedutaan itu pada 2.15 petang tadi.

Hishamuddin berkata adalah tidak wajar bagi kerajaan Greece menyekat kapal misi bantuan kemanusiaan itu untuk belayar ke Gaza.

"Tekanan dari Israel dan Amerika Syarikat menyebabkan Greece melarang kapal itu belayar ke Gaza dan ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

"Di sini kita memberi mesej yang sangat jelas kepada kerajaan Greece bahawa kita tidak dapat menerima pencabulan hak-hak kepada peserta Flotila dan juga rakyat Gaza," katanya.

Hishamuddin berkata memorandum itu juga mengandungi bantahan mereka terhadap penahanan kapten kapal The Audacity of Hope dari Amerika Syarikat, yang turut menyertai misi berkenaan.

Sementara itu Presiden Al-Ehsan Muhammad Ridhwan Sulaiman berkata seramai 600 aktivis dari seluruh dunia termasuk 10 dari Malaysia menyertai misi itu yang kini terpaksa ditangguhkan akibat larangan Greece.

Menurutnya NGO di seluruh dunia juga menyerahkan memorandum bantahan sama kepada kerajaan Greece melalui Kedutaan Greece di negara masing-masing.- BERNAMA

Artikel Lain