suria

Jumlah Ganti Rugi Saman Fitnah Rais Terhadap Penulis Blog Ditentukan 19 Julai Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Julai ini bagi menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar seorang penulis blog kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dalam satu saman fitnah.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais, dan peguam William Leong bagi pihak Amizudin Ahmat, berhubung jumlah ganti rugi.

Semalam, mahkamah memutuskan Amizudin, 42, bertanggungjawab bagi perbuatan memfitnah Rais, 69, menerusi sebuah artikel yang dipaparkan dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Pada 31 Januari, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat berhubung artikel berkenaan, yang disiar beserta dengan gambar beliau, pada atau sekitar 28 Disember tahun lepas.

Dalam penyataan tuntutan, Rais berkata seluruh artikel itu adalah berniat jahat serta memfitnahnya, selain membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius, iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumah Indonesianya.

Rais, yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan, menafikan dakwaan itu selepas penulis blog berkenaan menamakannya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah Rais selama lapan tahun, dilaporkan portal berita Indonesia menafikan yang dia diberi layanan buruk atau dirogol majikannya.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Muhammad Shafee meminta mahkamah memerintahkan penulis blog berkenaan membayar ganti rugi teruk dan teladan kepada Rais kerana fitnah yang disiarkan amat serius dan menyebabkan reputasi menteri itu tercalar.

"Saya rasa tidak pernah lagi seorang menteri kabinet, sama ada di Malaysia atau di dunia, difitnah sedemikian rupa," katanya sambil menambah Rais telah lama bergiat dalam arena politik serta menganggotai kabinet selama 37 tahun di bawah lima perdana menteri.

Leong pula berkata, Amizudin hanya memaparkan artikel yang telah disiarkan akhbar Harakah tanpa menambah sebarang perkataan, dan beliau juga bukan penulis asalnya. - BERNAMA

Artikel Lain