suria

Bersih Dinasihatkan Terima Cadangan PM - Mohd. Asri

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempertimbangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berhimpun di stadium berbanding berdemonstrasi haram di sekitar ibu kota pada Sabtu ini.

Menurut beliau, tawaran menjadikan stadium sebagai lokasi perhimpunan merupakan satu cadangan yang boleh diterima semua pihak bagi mengelakkan tercetusnya huru-hara.

"Perhimpunan di dalam stadium pastinya lebih selamat. Mereka (penganjur) juga boleh meminta wakil Yang di-Pertuan Agong untuk menerima memorandum bagi menuntut pilihan raya telus dan adil.

"Jika melimpah (terlalu ramai), berikan saja isyarat, orang ramai boleh duduk di luar stadium tanpa sebarang gangguan," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Malah beliau turut mengesyorkan perhimpunan Bersih digantikan dengan Minggu Bersih agar sesiapa saja yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada dapat meluahkan perasaan mereka.

"Bukan saja mereka yang menuntut sistem demokrasi lebih adil tetapi rakyat yang membantah kenaikan harga barang juga boleh menyertai kempen Minggu Bersih ini," ujarnya.

Bagi memastikan kempen itu berjalan secara efektif, beliau mencadangkan ia diadakan selama seminggu dengan rakyat mengibarkan bendera Malaysia sebagai menyokong tuntutan terhadap pilihan raya telus dan adil.

"Dengan cara ini, lebih ramai rakyat dapat turut serta dalam keadaan yang lebih selamat dan meriah. Mereka juga boleh memakai riben kuning tanpa perlu mengadakan demonstrasi haram," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno juga boleh mengadakan kempen tersendiri pada tarikh berbeza.

"Mereka boleh atur kempen masing-masing...tak patut sertai Minggu Bersih. Namun segalanya terpulang kepada mereka sama ada ingin mengadakan kempen pada tarikh yang sama atau berbeza," tambahnya.

Bagaimanapun, Dr Asri memberitahu cadangan itu disuarakan bukan sebagai menyokong atau membantah tawaran Najib. Namun sebaliknya beliau berkata, setiap rakyat berhak bersuara bagi menuntut sistem demokrasi yang lebih adil.

Pada Isnin, Najib berkata kerajaan bersedia membenarkan perhimpunan Bersih jika ia diadakan di stadium.

"Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan...mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

"Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara," katanya.

Pada Ahad, Tuanku Mizan bertitah supaya rakyat di negara ini tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Baginda turut bertitah supaya pihak kerajaan melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Artikel Lain