suria

Perhimpunan: Hormati Dan Ambil Kira Titah Yang di-Pertuan Agong

MELAKA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak supaya menghormati dan mengambil kira pandangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung perhimpunan haram yang dijadual diadakan Sabtu ini.

Beliau berkata titah Seri Paduka itu adalah satu kenyataan bahawa isu kesejahteraan rakyat, perpaduan nasional serta keamanan sangat penting.

"Masalah ini (untuk mengadakan perhimpunan) sampai pada tahap yang membimbangkan dan kalau berlaku boleh membawa perkara buruk kepada negara," katanya kepada pemberita.

Beliau sebelum itu mengadakan perjumpaan bersama pemimpin belia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), kesatuan sekerja serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung seluruh negeri Melaka di Dewan SJK (C) Yu Ying, Semabok, di sini Isnin.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop dan barisan anggota Exco kerajaan negeri.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas peringatan Yang di-Pertuan Agong bahawa dalam keghairahan rakyat berpolitik bagi menyubur demokrasi dalam negara, mereka juga perlu memastikan tuntutan demokrasi tidak membawa kemusnahan kepada negara.

Semalam, Seri Paduka bertitah rakyat tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan dalam negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu dipertahankan oleh semua pihak.

Muhyiddin, yang dalam lawatan kerja sehari ke Melaka, berkata menjadi hak Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara untuk memberi sesuatu nasihat kepada semua pihak dan nasihat Seri Paduka mesti dihormati serta tidak dipandang remeh.

"Juga titah Tuanku itu tidak boleh dilihat sebagai campur tangan dalam urusan negara," kata beliau, sambil menambah titah baginda itu adalah tepat kerana tempoh beberapa hari sebelum perhimpunan itu dijadual diadakan adalah kritikal.

Timbalan Perdana Menteri berkata semua pihak tidak harus berdegil untuk meneruskan usaha mengadakan perhimpunan haram itu kerana ia dianjurkan oleh sebuah badan yang tidak sah dan menjadi kesalahan di bawah undang-undang.

Pada majlis itu, Muhyiddin menerima memorandum dan kain rentang daripada Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka Zali Md Yasin yang membantah keras cadangan mengadakan perhimpunan haram pada Sabtu ini.

Beliau turut menyertai makan tengah hari bersama lebih 1,000 rakyat di padang sekolah itu.- BERNAMA

Artikel Lain