suria

Majikan Boleh Ambil Terus Pembantu Rumah Tanpa Guna Ejen - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Majikan boleh menggaji pembantu rumah warganegara Indonesia secara terus tanpa melalui khidmat ejen atau agensi berkaitan apabila prosedur mengenainya dipersetujui oleh Malaysia dan republik itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata perkara itu merupakan antara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan pembantu rumah dari republik itu yang ditandatangani akhir Mei lepas.

"Contohnya kalau majikan itu ada pembantu rumah yang bekerja sekarang sudah tamat tempoh dan mahu pulang (ke negaranya), kemudian pembantu rumah itu mempunyai angota keluarga yang mahu menggantikan tempatnya, majikan boleh terus mengambilnya tanpa melalui saluran agensi," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas pelancaran program "My Skills 2011" peringkat kebangsaan oleh Presiden MIC Datuk G. Palanivel di Universiti Malaya di sini, Ahad.

My Skills 2011 dianjurkan bersama oleh Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India Jabatan Perdana Menteri dan MIC.

Dr Subramaniam berkata kedua-dua negara sedang memperincikan perkara itu termasuk menyenaraikan prosedur yang perlu dipatuhi oleh majikan sebelum ia boleh dilaksanakan.

Selain itu, mengenai kadar bayaran pengambilan pembantu rumah oleh agensi pekerja asing, beliau berkata pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi terbabit bagi menjelaskan kadar bayaran baru.

Beliau berkata daripada 100 agensi yang ditemui, lebih 30 agensi telah menyatakan persetujuan untuk mengenakan bayaran pada kadar RM4,511 seperti yang terkandung dalam MoU itu.

"Agensi-agensi yang bersetuju ini bolehlah mengambil pembantu rumah apabila pengambilan semula dibuka nanti, mereka yang tidak bersetuju kena tunggulah," katanya.

Mengenai program My Skills 2011, Dr Subramaniam berkata sebanyak 5,000 kursus kemahiran ditawarkan kepada golongan belia India di beberapa institusi kemahiran kerajaan termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Insitut Kemahiran Belia dan Negara dan Institut Latihan Perindustrian.

Beliau berkata program itu yang menyediakan peluang latihan kemahiran secara percuma secara tidak langsung akan dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan selain dapat mengurangkan kadar jenayah di kalangan belia India. - BERNAMA

Artikel Lain