suria

Enam Bulan Untuk Pulihkan Industri Pelancongan Jika Demo Berlaku

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memerlukan masa sehingga enam bulan untuk meyakinkan pelancong bahawa negara ini selamat dikunjungi seandainya berlaku demonstrasi besar-besaran yang dirancang pada Sabtu ini oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, protes yang hendak dijalankan atas nama pilihan raya bersih dan bebas bukan sahaja akan menjejaskan nama negara tetapi juga pendapatan hasil daripada kedatangan pelancong asing.

Dr Ng menambah, kenyataan beliau itu adalah berdasarkan pengalaman masa lalu.

Katanya, pada satu peringkat, pegawai-pegawai dari Negeri China telah datang ke sini minggu lalu untuk memastikan sama ada situasi sekarang selamat untuk rakyat mereka kunjungi.

Berdasarkan statistik tahun lalu, sejumlah 2.2 juta pelancong asing telah mengunjungi Malaysia pada Julai tahun lalu dan 100,000 daripadanya adalah dari China.

“Perkara pertama yang dibimbangi oleh semua pelancong asing ialah keselamatan mereka. Dan kejatuhan jumlah kedatangan pelancong asing hanya akan menjejaskan mereka yang terlibat dalam industri ini iaitu pihak hotel, para peniaga, industri teksi dan banyak lagi.

“Industri ini boleh kehilangan sehingga RM1 bilion akibat perhimpunan haram seperti ini,” kata Dr Ng dalam sidang akhbar mempromosikan 1Malaysia International Night Tourism Floral Parade 2011.

Artikel Lain