suria

Tahap Penggunaan Pengangkutan Awam Dijangka Meningkat 40 Peratus Menjelang 2020

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri yakin kapasiti pengangkutan awam negara akan meningkat ke tahap penggunaan 40 peratus menjelang tahun 2020, sekali gus mengurangkan kesesakan di kota metropolitan terutama di Kuala Lumpur.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan pelbagai inisiatif menambahbaik sistem pengangkutan awam yang sedang dan akan dilaksanakan di negara ini.

Abdul Rahim berkata ini termasuk projek sambungan LRT Ampang-Kelana Jaya sejauh 35km dan projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang yang melibatkan perbelanjaan sekitar RM30 bilion.

"Saya yakin dengan terlaksananya projek ini, ia diharap akan dapat mengurangkan kesesakan di kota metropolitan seperti Kualau Lumpur dan akan menjadikannya kota yang setanding dengan kota utama di dunia seperti di Hong Kong, Taipei dan Tokyo.

"Dan ini selaras dengan pelan transformasi ekonomi. Selain itu, negara akan mendapat faedah dari projek berskala besar ini kerana pelaksanaannya akan merangsanag pertumbuhan negara melalui kesan gandaan yang akan dapat diwujudkan," katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Abdul Rahim berkata projek itu adalah projek terbesar selepas Malaysia mencapai kemerdekaan dan akan melonjakkan kemampuan kontraktor tempatan seperti MMC Gamuda dan syarikat tempatan lain yang akhirnya membawa mereka ke persada pembinaan antarabangsa kelak.

Beliau berkata sebagai sebahagian agensi pelaksanaan projek pengangkutan itu, Kementerian Pengangkutan akan memastikan projek berkenaan benar-benar terlaksana dengan cekap dan memenuhi kehendak dan kepentingan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain