suria

Mahkamah Tinggi Putuskan Bekas Ketua Pemuda MIC Kedah Ditahan Secara Sah

ALOR STAR: Mahkamah Tinggi di sini Ahad memutuskan bahawa penahanan bekas Ketua Pemuda MIC Kedah, S.K Sures empat tahun lalu bagi membantu siasatan satu kes pembunuhan adalah dibuat secara sah.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menolak dengan kos writ saman RM300,000 yang dikemukakan Sures, 44, terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia atas dakwaan menahannya secara salah pada 11 Julai 2007, pukul 2 pagi di rumahnya di Taman Mahsuri, Bandar Darulaman di Jitra.

Dalam tuntutan itu, Sures menamakan Insp Shaikh Othman Abdul Hamid, pegawai polis yang menahannya ketika kejadian, Ketua Polis Kedah, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia, masing-masing sebagai defendan pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Sures, yang merupakan seorang ahli perniagaan, berkata penahanan itu telah menyebabkannya mengalami tekanan mental yang teruk dan memohon RM300,000 sebagai ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan saman itu, dia mendakwa telah ditahan reman selama dua hari bagi membantu penyiasatan terhadap kes bunuh melibatkan seorang guru India dan kemudiannya dibebaskan tanpa syarat pada 12 Julai 2007. Sementara itu, peguamnya T. Rajasekaran yang ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya akan membuat rayuan bagi memastikan hak Sures sebagai individu terbela. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain