suria

Cara Anggun pertahankan bahasa

MARSHA LONDOH
MARSHA LONDOH
MARSHA LONDOH

KALI terakhir saya bertemu dengan penyanyi dari Indonesia, Anggun Cipta Sasmi lebih 10 tahun lalu ketika dia melakukan promosi albumnya. Saya melihat wanita itu sebagai seorang artis yang hebat.

Dia bukan berjaya mencipta nama di negaranya sendiri tetapi juga di Malaysia selain menjadi artis Asia pertama yang mampu menembusi pasaran album antarabangsa pada tahun 1996.

Anggun seorang yang benar-benar hebat kerana berkeupayaan membawa jenama dirinya untuk bergelar seorang yang popular dalam dunia seni yang diterokainya. Dia mempunyai misi untuk berjaya. Sebab itulah selepas 10 tahun pun dia masih gah dengan kehebatannya.

Saya sebenarnya tidak patut bangga dengan Anggun kerana dia bukannya artis dari negara ini. Tak untung dan tak rugi. Tapi saya terpaksa berbangga dengan dia kerana kehebatan yang ada pada Anggun tak ada macam orang lain.

Kehebatannya bukan sekadar berjaya menembusi pasaran antarabangsa sebaliknya kekuatan yang ditonjolkan untuk menjadi manusia yang hebat terhadap pendirian dirinya.

Kekuatan seseorang manusia adalah bagaimana dia mempertahankan negaranya. Dan kehebatan Anggun apabila maruahnya dibela melalui bahasa.

Dalam temu bual dengan wartawan Feride, Anggun memberitahu dia lebih gemar berkomunikasi dalam bahasa Indonesia daripada berbahasa Inggeris. Walaupun dia fasih dalam bahasa kedua itu tetapi dia mahu memperlihatkan betapa dia menyanjung bahasa ibundanya.

Malah anggun juga mengajar anak agar tidak lupa asal usul dengan memastikan anaknya supaya boleh bercakap dalam bahasa tersebut. Itulah hebatnya Anggun yang melihat perjuangan dalam mempertahankan negara bukan sekadar hanya mampu mengangkat senapang sebaliknya mencintai bahasanya sendiri.

Tapi adakah orang kita, rakyat kita mempunyai kehebatan seperti itu? Masyarakat kata sebenarnya mudah lupa diri, lupa asal usul dan gemar hidup dalam angan-angan dan nak kaya cepat.

Mereka sepatutnya mencontohi Anggun. Dia menetap lama di luar negara. Dia jenuh merantau seluruh dunia. Tetapi dia mempunyai pendirian yang luar biasa iaitu tidak lupa dengan bahasanya sendiri.

Artis-artis kita macam mana? Ada sesetengahnya nak bercakap dalam Bahasa Malaysia pun malu. Ada juga yang tinggal di luar negara tak sampai sebulan sudah tak kenal Bahasa Kebangsaan.

Inilah dinamakan manusia lupa diri. Saya juga melihat ada juga di antara kita apabila bercakap dalam Bahasa Malaysia pun salah sebutannya? Kalau beginilah jadinya, macam mana hendak mempertahankan negara?

Anggun adalah antara artis yang harus dijadikan contoh terbaik. Dia hebat dan popular tetapi dia tetap memperjuangkan asal usulnya.

Tetapi artis-artis kita bukannya semua hebat sebaliknya sengaja nak tunjuk hebat. Jadi apabila bercakap dalam bahasa ibunda, ramai yang tergigit lidah sendiri.

NIEZAM: Sanjung Anita Sarawak yang tak lupa bahasa Malaysia walaupun menetap lama di Amerika Syarikat.

Kemaruk nak luah perasaan

ADA seorang artis ini berkata, dia akan luah apa juga perasaannya dalam Twitter. Kalau tak puas hati, bengang, naik angin atau naik darah, dalam Twitter menjadi tempat dia melepaskan perasaan.

Saya senyum saja dengan kenyataan artis ini. Saya kata dalam hati, “tak cerdik juga kau kan.”

Itulah akibatnya apabila sesetengah artis tak mempunyai daya pemikiran yang matang.

Artis menjadi perhatian masyarakat. Setiap apa yang ditulis, dilaporkan akan membuatkan masyarakat mempunyai persepsi negatif terhadap mereka.

Twitter dan juga laman sosial yang digunakan untuk meluahkan perasaan bukanlah satu medium yang baik untuk kerjaya mereka apatah lagi jika ia bersangkut paut dengan perkara yang tidak baik.

Sebagai contoh Marsha buat lawak kononnya nak kahwin dalam waktu terdekat tetapi lawak itu hanyalah sekadar gimik untuk mempopularkan single terbarunya.

Tak semua benda boleh buat lawak macam itu. Itu lawak bodoh namanya.

Ia mengundang tanggapan buruk mengenai sikap artis. Ya lah... semua orang ada hak untuk meluahkan perasaan mereka tetapi mereka perlu tahu batas masing-masing.

Dalam masa yang sama ia memperlihatkan kecetekan IQ seseorang itu apabila perkara-perkara yang tidak sepatutnya diluahkan melalui rangkaian sosial tersebut.

Ia turut berlaku bagaimana Fasha Sandha membebel dalam Twitter dan menyelar sikap biadab Iqram Dinzly yang dikatakan memberi kenyataan palsu terhadap Fasha.

Walaupun tindakan Fasha itu bertujuan untuk menjelaskan cerita sebenarnya tetapi kata-kata yang dilemparkan Fasha itu agak keterlaluan yang menyebabkan orang menilai kelemahan diri Fasha sendiri walaupun dalam kes ini mungkin Iqram yang bersalah.

Dan terbaru tersebar pula melalui Twitter kononnya Tan Sri Jins Shamsuddin sudah meninggal dunia sedangkan beliau masih sihat walafiat. Nampaknya ada juga orang yang sanggup dan tergamak buat lawak macam tu.

Jika budaya meluahkan perasaan ini tidak dibendung, dunia artis sudah tak akan jadi istimewa lagi. Dan tidak salah jika suatu hari nanti orang akan berkata artis-artis kita tidak cerdik.

Jadi, jika ada pihak seperti orang media memetik kenyataan mereka, jangan salahkan orang lain, sebaliknya salahkan diri sendiri. Kerana apa? Kerana merekalah sebenarnya yang mencipta kontroversi murah untuk membodohkan diri sendiri.

NIEZAM: Cukuplah ada Facebook.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain