suria

BN Akan Tubuh Pasukan Gerak Cepat Dengan NGO Untuk Bantu Rakyat - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan pasukan gerak cepat bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokongnya dalam usaha membantu golongan memerlukan dengan pantas terutamanya ketika bencana.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dengan kerjasama sedemikian, BN dapat menggembleng rangkaian, kepakaran dan sumber dengan lebih baik untuk membantu golongan berkenaan.

Berucap merasmikan Konvensyen BN Wilayah Persekutuan di sini hari ini, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata parti tidak boleh bergerak sendirian dalam memenuhi kehendak rakyat sebaliknya memerlukan sokongan pelbagai pihak terutamanya NGO.

"Tugas kita (BN) adalah untuk membentuk jaringan strategik dengan semua NGO dan pelbagai kumpulan masyarakat termasuk golongan belia untuk meneruskan agenda membela rakyat.

"Bagi yang sudah ada rangkaian, perkukuhkan rangkaian mereka, anjurkan program secara bersama dan terima NGO sebagai sebahagian daripada keluarga besar BN," katanya.

Muhyiddin turut menyelar tindakan beberapa parti politik pembangkang yang menggunakan NGO untuk menyembunyikan agenda mereka menimbulkan huru-hara pada perhimpunan haram yang akan diadakan 9 Julai ini.

Dalam isu itu, kata beliau pembangkang menghasut rakyat untuk turun ke jalanan kononnya untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil sekaligus tidak menghormati mandat majoriti rakyat yang diserahkan kepada BN.

"Kita tahu mereka berselindung di sebalik beberapa NGO untuk menyembunyikan niat kotor mereka, kononnya perhimpunan yang bakal diadakan adalah perhimpunan aman yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Benar, Perlembagaan kita menjamin hak rakyat untuk mengadakan perhimpunan aman tetapi kita tidak fikir rakyat boleh terpedaya dengan muslihat mereka sebaliknya tahu niat sebenar mereka ialah mencetuskan huru-hara," katanya.

Beliau berkata pembangkang sentiasa menggunakan apa sahaja cara yang ada untuk memenuhi nafsu kuasa, sama ada cara itu bertentangan dengan lunas undang-undang atau prinsip demokrasi tidak penting, asalkan mereka dapat berkuasa.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta semua parti komponen BN bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum yang boleh diadakan pada bila-bila masa terutamanya persiapan di peringkat parti.

Beliau mahu semua jentera pilihan raya di setiap peti undi dibentuk dan data ahli dikemas kini serta memastikan semua anggota sudah berdaftar sebagai pengundi.

"Kita juga perlu selesaikan segala masalah dalaman parti dengan segera, jangan biarkan masalah berlarutan sehingga ke hari mengundi.

"Ibarat bermain bola, kita tentunya tidak mahu menjaringkan gol di gawang sendiri, yang akhirnya menyebabkan pasukan kita tewas," katanya.

Turut hadir pada konvensyen itu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Setiausaha BN Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Al-Habshee. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain