suria

Bengkel Untuk Bincang Penubuhan Parlimen Belia - Ahmad Shabery

SEREMBAN: Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan bengkel selama tiga hari mulai Selasa ini bagi membincangkan mengenai penubuhan Parlimen Belia, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata pada bengkel itu akan dikemukakan cadangan, pandangan dan maklum balas mengenai penubuhan Parlimen Belia.

"Ini kerana perkara utama yang perlu kita teliti adalah dari segi umur, cara pemilihan, tempat persidangan, beberapa kerap bersidang dan sebagainya.

"Apa ruang lingkup, kita kena putuskan dulu. Prosesnya kita akan tentukan dalam perjumpaan (bengkel) tersebut," katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Forum Generasi Muda Peringkat Kebangsaan 2011 di sini Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan buat pertama kali dalam sejarah negara sebuah Parlimen Belia akan diwujudkan.

Menerusinya golongan belia akan mempunyai saluran yang formal untuk menyampaikan pandangan mereka mengenai pelbagai perkara kepada kerajaan. Ahmad Shabery turut menasihatkan para belia agar tidak menghadiri dan memberi sokongan terhadap perhimpunan haram 9 Julai ini.

Katanya kalau para belia positif dan rasional, mereka sudah tentu tidak akan menyokong tindakan itu.

"Hanya mereka yang tidak tahu haja tuju sahaja yang akan menyertai perhimpunan itu. Ini kerana tidak ada isu besar dan perlu melainkan kumpulan tersebut seperti orang lemas yang teraba-raba atau mencapai apa saja yang tercapai," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain