suria

Sungai Klang dan Sungai Gombak Jadi Ikon Waterfront - PM

KUALA LUMPUR: Sungai Klang dan Sungai Gombak yang merentasi bandar raya ini bakal berubah wajah menjadi ikon waterfront atau tepian air yang bersih dan rancak dengan pelbagai aktiviti menjelang tahun 2020, yang setanding dengan ibu kota dan bandar raya di negara maju seperti London, Paris, Melbourne dan Amsterdam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Projek Sungai Nadi Kehidupan yang merupakan projek Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (Greater KL/LK) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang mempunyai sebanyak sembilan projek permulaan (EPP) akan memastikan Sungai Klang dan Sungai Gombak berubah menjadi sebuah waterfront.

"Pihak kerajaan amat komited terhadap agenda pembangunan negara pada masa hadapan dan Projek Sungai Nadi Kehidupan ini dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara yang juga berperanan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Sungai Nadi Kehidupan-Greater KL dan LK di Lot 497 dan 194, Jalan 9/48A, berdekatan Sungai Gombak di sini Jumaat malam.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

"Projek ini (Sungai Nadi Kehidupan) merangkumi tiga komponen iaitu pembersihan sungai, pengindahan koridor sungai bertujuan meningkatkan tarikan ibu negara Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan mewujudkan rangkaian laluan berbasikal, pejalan kaki dan pengangkutan air.

"Komponen ketiga pula akan membabitkan pembangunan tanah kerajaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan merealisasikan nilai untuk kerajaan dan rakyat," katanya.

Kerajaan memiliki tanah terbiar sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang dan tanah itu akan meningkat nilainya ekoran kerja-kerja pembersihan dan pengindahan hasil daripada projek tersebut, katanya.

Najib berkata demi merealisasikan nilai tambah tanah tersebut, tanah yang terlibat dalam projek itu akan dibangunkan dengan kerjasama kerajaan dan pihak swasta.

Projek Sungai Nadi Kehidupan dijangka memberi sumbangan kira-kira RM11.3 bilion atau RM1.4 bilion setahun sehingga tahun 2020 sekiranya dilihat daripada segi sumbangan projek itu kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK), katanya.

Perdana Menteri berkata ia merupakan lima peratus daripada pertumbuhan PNK sebanyak RM30 bilion setahun yang perlu negara capai dari sekarang hingga tahun 2020 bagi membolehkan mencapai status negara maju.

"Apabila projek (membersihkan sungai) ini siap kelak, warga kota akan mempunyai kawasan tepian air yang bersih dan rancak dengan pelbagai aktiviti," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai perlu diberi kesedaran mengenai betapa pentingnya menjaga kebersihan sungai dan pada masa yang sama pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa menjalankan penguatkuasaan yang berkesan demi memastikan kualiti Sungai Gombak dan Sungai Klang sentiasa berada pada tahap terbaik.

Najib berkata sebelum ini kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk membersihkan sungai, namun, sungai-sungai itu masih tercemar dengan tahap kualiti air yang semakin merosot berikutan daripada pembuangan sampah di sepanjang sungai tersebut.

Jika dilihat daripada segi kualiti air di sungai-sungai kita, ia adalah antara Kelas 2 di bahagian hulu dan Kelas 4 dan Kelas 5 di bahagian sungai yang berada di pusat bandar, katanya.

Katanya kira-kira 170 tan sampah memasuki Sungai Klang setiap tahun tetapi hanya 25 tan sahaja yang berjaya dikutip semula, malah, bahan sisa kumbahan, sama ada belum atau sudah dirawat memasuki sungai setiap hari.

Najib berkata dalam lawatannya ke Korea Selatan baru-baru ini beliau berpeluang melawat projek pemuliharaan Sungai Cheonggyecheon di bandar Seoul, dan berpendapat ia antara contoh terbaik transformasi sebuah sungai yang tercemar dan kotor berubah kepada sungai yang dilengkapi laluan pejalan kaki, jambatan penghubung dan air pancut untuk kemudahan warga kotanya.

Katanya Seoul mencatatkan 18 juta ketibaan pelancong untuk mengunjungi sungai itu untuk tahun 2008 sahaja, dan setakat ini projek terkenal itu telah menelan kos kira-kira US$470 juta dan projek itu juga berjaya mewujudkan sebanyak 10,700 peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, katanya Malaysia perlu menjadikan Korea Selatan, Hong Kong dan Australia sebagai contoh kerana berjaya mencatat PNK sebanyak RM70,000 per kapita dan lebih dan menurutnya Malaysia boleh mencapai tahap tersebut sekiranya menggandakan usaha untuk menarik pelaburan, memacu peningkatan produktiviti dan menjadikan inovasi dan kreativiti sebagai landasan pemikiran.

Najib berkata Projek Sungai Nadi Kehidupan itu merupakan antara daya tarikan pelancong yang boleh menyumbang kepada PNK negara dan pada masa yang sama menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang terunggul pada masa depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain