suria

Penanam Padi Jangan Guna 3T - Muhyiddin

BAGAN SERAI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta penanam padi supaya tidak menggunakan 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai kerana ia tidak membantu meningkatkan pengeluaran padi negara.

Sebaliknya, beliau meminta mereka menggunakan kaedah estet padi dengan membenarkan tanah mereka dimajukan oleh syarikat besar memandangkan ramai penanam padi sudah berusia.

"Anak-anak mereka tak minat nak teruskan jadi petani padi. Ini menyebabkan kawasan penanaman padi semakin lama semakin kurang sedangkan kita nak kekalkan pengeluaran kita sebanyak 70 peratus daripada kegunaan.

"Kalau kita banyak import akhirnya akan membebankan kita juga. Jangan biar tanah sawah terbiar. Kalau kita boleh tumpu cara ini (estet padi), tak perlu tumpu kepada kerja-kerja sawah," katanya pada majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Pesawah di Kampung Parit Haji Kassim dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata masalah yang sering diutarakan oleh para penanam padi adalah masalah air tetapi ada kawasan-kawasan yang tidak berhadapan dengan masalah itu masih menghasilkan pengeluaran padi yang rendah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain