suria

Majlis Agama Islam Negeri Dicadang Wujud Rumah Sembelihan

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam di setiap negeri disaran agar mewujudkan rumah sembelihan untuk memastikan masyarakat Islam dapat merasa yakin dengan hasil sembelihan yang dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perkara itu boleh dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri dengan menubuhkan anak syarikat ataupun dengan kerjasama syarikat lain.

"Sekarang ini di pasaran orang masih bertanya sama ada halalkah ayam di sembelih itu dan ada juga yang cadangkan kita upah penyembelih ayam.

"Sehubungan itu saya mencadangkan Majlis Agama Islam Negeri yang berkemampuan tubuh anak syarikat atau bekerjasama dengan syarikat lain untuk mewujudkan pusat sembelihan dan dapatkan sijil jalan sebagai salah satu cara untuk menyakinkan umat Islam terhadap sembelihan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil ke-21 di sini Sabtu.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Othman Mustapha dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Dalam ucapannya, Jamil Khir berkata dengan adanya kemudahan sembelihan tersebut ia akan dapat menyaingi pengusaha bukan Islam sebagai pengeluar utama makanan harian utama umat Islam di negara ini.

Dalam masa yang sama beliau turut berharap pengusaha bukan Islam mematuhi syariah supaya menyediakan tukang sembelih Islam termasuk di kalangan warga asing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain