suria

Kementerian Pelancongan Saran Kajian Saintifik Peristiwa Benak Di Sri Aman

SRI AMAN: Kementerian Pelancongan menyarankan supaya satu kajian saintifik dilakukan mengenai fenomena ombak sungai atau 'benak' di Sarawak bagi meningkatkan potensi pelancongan negeri itu di pasaran global.

Timbalan Menterinya Datuk Dr James Dawos Mamit berkata pelajar yang mengikuti pengajian alam sekitar pada peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) boleh menjadi peneraju dengan menghasilkan tesis mengenai fenomena kejadian benak di Sri Aman.

"Sekiranya kita tahu kaedah saintifik benak di Sri Aman, kita boleh mempromosikan fenomena itu pada waktu-waktu khusus berdasarkan segmen pasaran tertentu seperti bagi peluncur yang melakukan aksi berani," katanya pada pelancaran Pesta Benak 2011 di sini Sabtu.

Pesta empat hari itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Benak merupakan fenomena ombak sungai (tidal bore) di mana air pasang dari laut `pecah’ apabila bertembung dengan pulau dan membentuk ombak yang menghala ke arah sungai.

Fenomena benak di Batang Lupar, di sini, menjadi popular dan telah dikomersialkan menerusi Pesta Benak setiap tahun.

Dawos berkata fenomena benak di Sarawak merupakan satu-satunya yang wujud di rantau ASEAN dan promosi peristiwa unik itu perlu dilakukan secara progresif.

Sementara itu, Jabu juga mencadangkan penganjuran pesta benak mini di Betong tahun depan memandangkan sambutan di luar dugaan dari pelancong domestik dan asing pada pesta di sini.

"Walaupun, benak di Betong tidak sebesar di Sri Aman tetapi peristiwa itu mempunyai potensi untuk digalakkan sebagai produk pelancongan," kata Jabu, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Menteri Pemodenan Pertanian Sarawak.

Katanya beliau berharap Kementerian Pelancongan akan menyediakan peruntukan bagi menganjurkan acara itu tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain