suria

Kastam Tahan Warga Pakistan Ikat Heroin Seberat 3Kg Pada Betis

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA menahan seorang lelaki warga Pakistan bersama tiga kilogram dadah jenis heroin bernilai RM600,000 yang diikat pada betisnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Jumaat.

Pengarahnya Datuk M. Govinden berkata lelaki berusia 20-an itu ditahan pada 8.30 pagi sejurus tiba dari Karachi, selepas pihaknya melihat suspek yang membawa beg bimbit biru dalam keadaan mencurigakan.

"Imbasan ke atas beg tidak menampakkan imej mencurigakan. Pemeriksaan rapi dibuat ke badan suspek dan pegawai Kastam menjumpai dua bungkusan diikat pada betis suspek iaitu seberat 1.5 kg untuk setiap bungkusan," katanya pada sidang akhbar di sini Sabtu.

Menurutnya dadah yang dirampas itu berkualiti tinggi dan jika diproses, beratnya boleh mencecah tiga kali ganda daripada berat asal dengan nilai pasaran mencecah RM6 juta.

Katanya suspek yang sebelum ini sudah empat kali datang ke Malaysia kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Govinden berkata bagi tempoh Januari hingga semalam, pihaknya berjaya merampas sejumlah 57kg dadah pelbagai jenis dengan anggaran nilai pasaran RM5 juta dalam 12 kes berasingan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain