suria

Hasrat Astro Naik Tarif Perkhidmatan Diserah Kepada Pelanggan

KUALA KLAWANG: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pelanggan Astro sendiri perlu mengadili hasrat syarikat televisyen berbayar itu yang mahu menaikan tarif perkhidmatan berkenaan.

"Saya menyeru supaya rakyat (pelanggan Astro) yang tidak merestui kenaikan pakej itu melahirkan perasaannya menerusi lunas undang-undang dan menyampaikan kepada kita.

"Tetapi sudah jelas kepada kita bahawa Astro berpendirian sendiri dan hanya mementingkan keuntungan mereka dan tidak memberi pandangan yang boleh membantu masyarakat kita di luar bandar ataupun di bandar," katanya kepada pemberita selepas majlis kunjungan mesra rakyat 1Malaysia di Kampung Chennah dekat sini.

Rais berkata beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meneliti perkara ini.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis pelancaran kampung tanpa wayar Kampung Puom dekat sini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementeri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf.

Semalam kabinet memutuskan Astro tidak boleh menaikkan tarif perkhidmatan mereka selagi tidak mendapat kebenaran daripada SKMM.

Kabinet berpendapat Astro tidak wajar menaikkan sebarang tarif berkaitan perkhidmatan mereka.

Rais, yang juga anggota Parlimen Jelebu, berkata Astro seharusnya memikirkan tentang rakyat dan tidak sekali gus menaikkan harga mereka sedemikian.

"Sekarang pun kerajaan harus memikirkan masa depan siaran (televisyen) setelit yang dimonopoli oleh mereka (Astro)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain