suria

Hanya 16 Peratus Premis Perniagaan Bumiputera Di Lembah Klang

KAJANG: Usahawan bumiputera digesa melipatgandakan usaha untuk terus kekal dalam dunia perniagaan kerana ketika ini hanya 16 peratus premis perniagaan di Lembah Klang dimiliki bumiputera.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata mereka perlu menceburi bidang perniagaan yang kurang persaingan, belum diterokai orang lain serta memperbaharui perniagaan sedia ada supaya lebih kreatif.

"Dua perkara penting dalam perniagaan ialah ilmu dan modal tetapi ilmu lebih penting kerana perniagaan tanpa ilmu boleh lingkup," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di sini Sabtu.

Turut hadir ialah Presiden DPIM Tengku Ahmad Rithaudden dan dan timbalan presidennya Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Ahmad berkata lokasi perniagaan yang strategik juga perlu diambil kira memandangkan kebanyakan premis milik bumiputera berada di lokasi yang tersorok. Presiden DPIM Putrajaya Daud Ahmad dalam ucapannya mencadangkan agar DPIM membina sebuah medium baru yang dapat menggabungkan seluruh usahawan Muslim di seluruh dunia.

"Kita boleh namakan International Islamic of Business Chambers atau apa sahaja nama yang sesuai dengan ahli-ahli dewan perniagaan Islam dari seluruh dunia tanpa mengira sama ada negara itu majoritinya orang Islam mahupun orang Islam minoriti di negara itu," katanya.

Beliau berkata ia akan menjadi medium untuk mengenal pasti peluang perniagaan di negara-negara Islam dan dapat bekerja sebagai perantara untuk mengumpulkan dana untuk pelaburan di seluruh dunia.

Daud berkata Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran untuk mengetuai usaha ini dengan kerjasamaa usahawan Muslim di negara-negara Islam.

Pada majlis itu Al-Ansar Agro Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan Cambodian Muslim Cooperative (CMC) untuk usahasama penternakan dan pemasaran lembu di Kemboja. Melalui usahasama itu pihak Al-Ansar Agro Sdn Bhd memberi modal kepada CMC bagi usaha penternakan lembu di Stung Treng, Kemboja di atas tanah milik CMC, manakala CMC bertanggung jawab untuk urusan penternakan dan penyembelihan serta pelaksanaan ibadah korban dan akikah di negara tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain