suria

Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 Diluluskan

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 untuk menubuhkan sebuah badan bebas, Majlis Perundingan Gaji Negara.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata majlis itu berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan.

Majlis ini akan dibantu oleh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada pakar-pakar ekonomi, statistik dan sosial, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Dr Subramaniam berkata majikan juga boleh dikehendaki membayar apa-apa perbezaan gaji pokok kepada pekerja yang didapati dibayar di bawah paras gaji minimum serta bayaran-bayaran berkaitan.

"Bagi kesalahan berterusan, penalti dicadangkan adalah denda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap kesalahan, sementara bagi kesalahan berulang penalti yang dicadangkan adalah denda RM20,000 maksimum atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi setiap kesalahan," katanya.

Beliau berkata gaji minimum akan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan kuasa beli bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan seterusnya menangani isu kemiskinan di kalangan pekerja.

"Gaji minimum juga bagi mengelakkan eksploitasi majikan ke atas pekerja dalam keadaan majikan mudah mendapat bekalan pekerja asing yang sanggup menerima gaji rendah.

"Ia juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan dan bagi menggalakkan majikan meningkatkan rantaian nilai melalui pelaburan dalam teknologi tinggi dan peningkatan produktiviti pekerja," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, penetapan gaji bagi para pekerja sektor swasta di Malaysia ditentukan melalui tiga kaedah iaitu kuasa pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan dalam pasaran buruh serta Perjanjian Kolektif (CA) hasil rundingan antara kesatuan sekerja dengan pihak majikan.

"Ketiga ialah melalui Majlis Penetapan Gaji (MPG) di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947. Daripada ketiga-tiga kaedah tersebut, hanya gaji yang ditetapkan MPG merupakan gaji minimum.

"Namun begitu, penetapan gaji minimum ini adalah terhad kepada subsektor tertentu bagi kumpulan pekerja yang mudah terjejas seperti pembantu kedai, pekerja di pelabuhan, pekerja hotel dan penyediaan makanan serta pengawal keselamatan," katanya.

Subramaniam berkata gaji yang ditentukan kuasa pasaran didapati tidak berkesan kerana berdasarkan kajian oleh Bank Dunia, kadar gaji di Malaysia hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6 peratus setahun, sejak 10 tahun lepas.

Beliau berkata Kajian Guna Tenaga Kebangsaan pada 2009 yang melibatkan sampel sebanyak 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja pula mendapati 33.8 peratus pekerja bergaji di bawah RM700 sebulan.

Subramaniam berkata implikasi pelaksanaan gaji minimum terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara dijangka sangat meluas, kompleks dan tidak menentu.

"Gaji minimum lebih banyak memberi kesan positif ke atas pembangunan sosio ekonomi negara-negara yang melaksanakannya seperti Amerika Syarikat, China, Perancis, Taiwan dan United Kingdom.

"Walau bagaimanapun, jika gaji minimum ditetapkan pada kadar terlalu tinggi, secara teorinya ia boleh menyebabkan peningkatan kos menjalankan perniagaan kepada majikan, mendorong majikan mengurangkan jumlah pekerja dan seterusnya meningkatkan pengangguran," katanya.

Sementara itu, cubaan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) membentangkan usul merujuk rang undang-undang berkenaan ke jawatankuasa pilihan mengikut Peraturan Mesyuarat 54(2) gagal setelah undian belah bahagian memihak kepada kerajaan dengan 69 undi berbanding 29 undi yang bersetuju dengan usul itu.

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 54(2) usul itu diputuskan dengan tidak boleh dipinda atau dibahas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain