suria

Perkasa Tekad Terus Perhimpunan Anti Bersih

PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bertegas akan meneruskan perhimpunan pada 9 Julai ini ekoran kedegilan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga yang masih enggan membatalkan demonstrasi haram itu.

Ketua Wiranya, Irwan Fahmi Ideris berkata, Perkasa mengambil keputusan itu bagi menjelaskan kepada dunia bahawa perhimpunan Bersih bukan diadakan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.

Sebaliknya, beliau berkata, pemimpin Pakatan Rakyat dilihat sengaja mempergunakan badan bukan kerajaan (NGO) untuk tujuan politik mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Perhimpunan Bersih dianjurkan oleh NGO tetapi mengapa ramai Ahli Parlimen dari parti pembangkang menyokong usaha itu? Tindakan itu jelas menunjukkan wujud satu propaganda untuk mengelirukan rakyat," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran kepada penganjur Bersih 2.0, Perkasa dan Pemuda Umno supaya membatalkan rancangan itu dan tidak akan mengeluarkan sebarang permit perhimpunan.

Tanpa mempedulikan amaran keras polis, ketiga-tiga kumpulan itu tetap berdegil untuk melakukan perkara sama pada tarikh berkenaan.

Sementara itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sebelum ini berkata pihaknya bersedia membatalkan perhimpunan itu jika penganjur Bersih 2.0 mengambil pendekatan serupa.

Bagaimanapun beliau tidak akan menghalang anggotanya mengadakan perhimpunan pada hari itu sekiranya demonstrasi haram itu tetap diadakan.

Perhimpunan haram itu dijangka bermula di masjid Kampung Baru, Sogo Mall dan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menuju ke Istana Negara.

Irwan berkata jika benar kerajaan tidak mengamalkan pilihan raya yang telus dan bersih seperti didakwa, parti pembangkang tidak akan menguasai empat negeri pada PRU 2008.

"Jadi kami akan tetap berarak memandangkan mereka tidak mahu bertoleransi. Kami bukan mengajak mereka untuk berperang tetapi mahu menunjukkan bahawa orang ramai membantah demonstrasi haram itu," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai laluan yang akan digunakan Perkasa pada perhimpunan itu, Irwan berkata, tiada laluan khusus telah dibincangkan bagi mengelakkan pertembungan dengan kumpulan lain yang turut berhimpun.

"Kami tiada laluan khas. Segalanya bergantung kepada situasi kerana kita tidak pasti apa yang akan berlaku nanti," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain