suria

Malaysia Di Pentas Bioteknologi Dunia

WASHINGTON: Lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Amerika Syarikat yang berakhir pada Rabu telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala selain meletakkan Malaysia di pentas bioteknologi dunia yang lebih tinggi.

Lawatan Timbalan Perdana Menteri, selain bagi mempromosikan industri bioteknologi negara, juga sarat dengan pertemuan dengan pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat selain serta pelabur.

Sambil menyifatkan lawatannya sebagai satu kejayaan, Muhyiddin berkata beberapa kemajuan dalam hubungan dua Kuala Lumpur-Washington dicapai hasil perbincangan yang diadakan.

"Kita bukan saja dapat tekankan pentingnya hubungan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pertahanan, keselamatan dan lain-lain tapi kita dapat tekankan pentingnya hubungan dipertingkatkan lagi," katanya.

Pegawaipegawai kanan Amerika Syarikat dari Jabatan Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Pertahanan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin pada satu majlis sarapan.

Dalam pertemuan tidak rasmi itu, mereka mengambil kesempatan berbincang dengan Muhyiddin mengenai isu seperti sumbangan kemanusiaan Malaysia kepada Afghanistan, program English Teaching Assistance di mana guru-guru dari Amerika membantu mengajar bahasa Inggeris di Malaysia, dan kemudahan visa bagi rakyat Malaysia yang berkunjung ke Amerika.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin turut dimaklumkan bahawa pentadbiran Amerika Syarikat menganggap hubungan Malaysia-Amerika berada di tahap terbaik terutamanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin juga berdialog dengan wakil-wakil badan pemikir tempatan terpilih di mana isu-isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa turut menjadi topik.

"Mereka berikan pandangan dan kemukakan pertanyaaan. Saya jelasakan dasar kita di peringkat antarabangsa dan pendirian Malaysia dalam soal Timur Tengah, Asean, hubungan kita dengan China dan lain-lain. Boleh mereka berpuas hati dengan penjelasan saya.

"Penyertaan seperti ini amat baik dan mereka sudah mula fahami Malaysia, lebih dari masa yang lepas. Mereka lihat pentingnya Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh beri sumbangan kepada Amerika dan dalam konteks antarabangsa," kata Muhyiddin.

Beliau turut bertemu beberapa pemimpin perniagaan Amerika Syarikat, antaranya pelabur di Malaysia, dalam satu majlis anjuran Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-Asean.

Mereka termasuk dari Intel, Qualcomm, Honeywell, Citi Group, AT&T, Ace Group dan Conoco.

"Majlis perniagaan itu menyatakan mereka berpuas hati dengan layanan Malaysia dengan syarikat yang berpangkalan di Malaysia. Tidak ada satu komplen pun disampaikan kepada saya," katanya.

Muhyiddin juga menghadiri Konvensyen Antarabangsa BIO di sini dan diberi penghormatan merasmikan pameran bersama-sama dengan Gabenor Maryland, Martin 0'Malley, dan Ketua Pegawai Eksekutif BIO James Greenwood, menjadikan beliau pemimpin luar pertama dijemput berbuat demikian.

Muhyiddin juga menghadiri acara pembuka tirai bagi BioMalaysia 2011 serta Sidang Kemuncak Lingkungan Pasifik mengenai Industri Bioteknologi dan Biotenaga 2011, yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada November ini.

Ia merupakan julung kali Sidang Kemuncak Lingkungan Pasifik diadakan di luar Amerika Syarikat sejak penubuhannya.

"Ini satu perkembangan yang positif bila kita menjadi tuan rumah. Kita dapat perluaskan jaringan kerjasama dengan syarikat dan penganjur Amerika Syarikat dan pihak-pihak lain," katanya.

Muhyiddin menyifatkan kehadirannya di Konvesyen Antarabangsa BIO sebagai satu manifestasi perhatian utama yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dalam bidang sains dan teknologi.

Beliau juga melawat Universiti Maryland bagi meninjau peluang kerjasama antara Malaysia dengan universiti itu terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan agro-bioteknologi.

Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti ialah bagi penghasilan vaksin untuk selesema burung dan Newcastle Disease.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain