suria

Majlis Perundingan Gaji Negara: MTUC Tidak Setuju

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Jumaat tidak berpuas hati berhubung penubuhan sebuah badan bebas, Majlis Perundingan Gaji Negara.

Presidennya, Mohd Khalid Atan berkata terdapat banyak perkara yang mengelirukan dan tidak memihak kepada pekerja dalam Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 diluluskan di Parlimen.

“Kita akan mengadakan mesyuarat pada 6 Julai ini untuk membincangkan mengenai perkara ini. Insya-Allah kita akan meluluskan resolusi bantahan mengenainya.

“Selepas itu barulah kita akan menghantar memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia,” katanya kepada mStar Online di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 pada Khamis.

Sidang Dewan Rakyat telah meluluskan penubuhan sebuah badan bebas, Majlis Perundingan Gaji Negara untuk menetapkan gaji minimum terhadap pekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata majlis itu berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan.

Majlis ini akan dibantu oleh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada pakar-pakar ekonomi, statistik dan sosial, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Dr Subramaniam berkata majikan juga boleh dikehendaki membayar apa-apa perbezaan gaji pokok kepada pekerja yang didapati dibayar di bawah paras gaji minimum serta bayaran-bayaran berkaitan.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Mohd Khalid berkata, kerajaan tidak sepatutnya meletakkan syarat-syarat tertentu dalam menetapkan gaji minimum yang perlu dibayar oleh majikan.

“Syarat seperti pekerja dibayar gaji mengikut negeri, sektor pekerjaan adalah tidak wajar. Mengapa perlu ada syarat sedemikian, sedangkan pekerja di semua peringkat adalah sama.

“Kita tidak berpuas hati dengan syarat-syarat sebegini. Kita harap kerajaan akan mempertimbangkan semula perkara tersebut,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan perlu memanggil wakil-wakil daripada pertubuhan seperti MTUC dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk duduk dalam Jawatankuasa Teknikal mengenai Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Jika kerajaan mahu pelaksanaan yang menyeluruh, kerajaan perlu memanggil wakil daripada MTUC, MEF dan pekerja sektor awam kerana mereka ini adalah golongan sasar dalam pelaksanaan Akta Gaji Minimum tersebut.

“Bukan itu sahaja, jawatankuasa ini perlu bebas dan kuasa mereka tidak dihadkan supaya mudah untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan dalam menetapkan soal gaji pokok yang wajar ditetapkan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain