suria

Majlis Peguam Syarie Akan Ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Syarie akan ditubuhkan selaras dengan penggubalan Akta Guaman Syarie akan disegerakan bagi memartabatkan sistem kehakiman syariah dan profesion guaman syarie di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata selaras dengan penggubalan akta itu, garis panduan etika guaman syariah bagi mengawal etika peguam syarie dan menyeragamkan undang-undang syarie di seluruh negara akan diwujudkan.

"Umum mengetahui tiada satu akta yang mengawal etika guaman syarie...banyak kes yang berkaitan dengan peguam syarie seperti menipu anak guam, membawa butiran palsu, mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan tidak munasabah kepada anak guam.

"Kini sudah tiba masanya kita perlu memiliki Akta Guaman Syarie seperti Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan menubuhkan Majlis Peguam Syarie seperti Majlis Peguam Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Ke-13 dan menutup Konvensyen Peguam Syarie Seluruh Malaysia Ke-12 di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalannya Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Tan Sri Ibrahim Lembut.

Najib berkata dalam usaha memantapkan profesion kehakiman syarie, pendakwa, pegawai syariah dan peguam syarie di negara ini, kerajaan akan menubuhkan sebuah akademi, iaitu Institut Latihan Kehakiman Syariah Malaysia atau ILKAS yang bertujuan memberi latihan secara profesional kepada golongan berkenaan.

Katanya, kampus ILKAS mungkin akan dibina sama ada di Wilayah Persekutuan atau di Selangor.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata akta itu yang dirangka sejak tahun lepas kini dalam proses akhir penyediaannya.

"Antara aspek yang dipertimbangkan dalam akta termasuk hal-hal kebajikan pelanggan, peraturan yang akan memudahkan rujukan untuk peguam dan anak guam, serta penetapan yuran guaman.

"Kalau ikut apa yang PM (Perdana Menteri) umum tadi, ia (akta) akan disegerakan... kini ia di peringkat akhir cuma kita tunggu beberapa pandangan tambahan daripada persatuan peguam (syarie)," katanya.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui pemberita berkata akta itu dijangka dibentang di Parlimen pada awal tahun depan selepas beberapa aspek teknikal disemak oleh Pejabat Peguam Negara.

Ketika ditanya jumlah kes di Mahkamah Syariah yang berjaya diselesaikan pada tahun lepas, beliau berkata JKSM berjaya menyelesaikan 8,000 kes daripada 9,000 kes dalam tempoh 2009 hingga 2011.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain