suria

Lebih 100 Ahli Umno, PAS dan NGO Hantar Memorandum Bantah Sekatan Flotilla II

KUALA LUMPUR: Lebih 100 ahli Pemuda UMNO, PAS dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat berkumpul di Kedutaan Amerika Syarikat bagi mendesak negara itu dan sekutunya Israel supaya tidak menyekat perjalanan kapal konvoi misi bantuan antarabangsa, Freedom Flotilla II, ke Gaza.

Kumpulan tersebut mula berhimpun di hadapan kedutaan di Jalan Tun Razak di sini selepas solat Jumaat dengan membawa sepanduk menggesa negara itu dan sekutunya supaya jangan sabotaj kapal misi bantuan itu.

Kumpulan Pemuda UMNO, yang diwakili oleh setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Megat Junid, berkata mereka juga meminta jaminan keselamatan ke atas 10 sukarelawan Malaysia dan aktivis lain yang terbabit dalam misi itu.

Wakil kumpulan itu yang dketuai oleh Life Line 4 Gaza, sebuah NGO, turut menyerahkan memorandum kepada Setiausaha II, Konsulat, Greg Chapman, di hadapan pintu masuk kedutaan.

NGO lain yang terbabit dalam perhimpunan itu ialah Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ehsan Malaysia, Peace Malaysia dan Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (Pekida).

Seramai kira-kira 50 anggota polis berada di hadapan kedutaan itu bagi mengawal keadaan dan perhimpunan itu bersurai 30 minit kemudian selepas penyerahan memorandum tersebut.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain