suria

Exco Pemuda Umno Buat Laporan Terhadap Saifuddin

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno pada Khamis membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail atas dakwaan memfitnah seorang exco ingin membakar ibu pejabat parti itu.

Exco Pemuda Umno, Lokman Nor Adam membuat laporan tersebut di balai polis Tropicana bersebelahan ibu pejabat PKR.

Dalam laporannya, Lokman mendakwa Saifuddin telah memfitnahnya mahu membakar ibu pejabat PKR, Selasa lepas.

Beliau juga mendakwa Saifuddin turut memfitnahnya mahu mengugut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Datuk S. Ambiga sekiranya perhimpunan itu diteruskan pada 9 Julai ini.

Lokman yang memakai kemeja-T berwarna merah tiba di balai polis Troicana pada pukul 12.5o tengah hari. Beliau diiringi kira-kira 30 ahli Umno dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).

Lokman bersama Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican masuk membuat laporan.

Terdahulu, beberapa ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersorak dan membuat kecoh di hadapan balai polis berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan tersebut, Lokman berkata, beliau akan memfailkan saman bernilai RM500,000.99 terhadap Saifuddin.

Jelasnya, saman tersebut adalah kerana setiausaha agung PKR itu telah menyusahkannya.

Lokman turut mencabar Saifuddin supaya menunjukkan pita video yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan mahu membakar bangunan PKR.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain