suria

Bekas Penolong Gabenor BNM Dituduh Rasuah RM100,000

KUALA LUMPUR: Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Mohamad Daud Dol Moin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan menerima suapan, iaitu wang tunai RM100,000 berhubung kontrak projek percetakan wang polimer RM5, tujuh tahun lalu.

Kontrak tersebut dikatakan bernilai melebihi RM95 juta.

Mohamad Daud, 58, mengaku tidak bersalah terhada pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Tertuduh yang hadir dengan memakai sut hitam dan bertali leher didakwa menerima suapan itu daripada seorang ahli perniagaan, Abdul Kayum Syed Ahmad, 62, semasa dia masih bertugas sebagai Penolong Gabenor.

Suapan itu didakwa untuk membantu sebuah syarikat di Australia, Note Printing Australia Ltd mendapatkan kontrak berkaitan permohonan 'Percetakan Wang Polimer RM5' daripada BNM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada antara 1 Disember 2004 dan 16 Februari 2005 di Restoran Dome, G7, aras bawah, Bangsar Shopping Centre, di sini.

Bagi kesalahan itu, Mohamad Daud didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup yang manakala tertuduh diwakili oleh peguam Collin Goonting.

Rosbiahanin membenarkan Mohamad Daud dibebaskan dengan jaminan RM100,000 selepas dimaklumkan bahawa tertuduh tidak membantah jumlah yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Abdul Kayum turut memohon agar dirinya dibicarakan bagi dua pertuduhan memberi suapan RM100,000 kepada Mohamad Daud.

Tertuduh yang beralamat di Duta Tropika, Kuala Lumpur didakwa memberikan suapan itu bagi tujuan yang sama pada 24 November 2004 dan pada 15 Februari 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank EON, Jalan Taipan, Subang Jaya, dekat sini.

Manoj mengendalikan pendakwaan tersebut mengikut Seksyen 11(b) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Pada prosiding di hadapan Hakim Asmadi Hussin, peguam Gurbachan Singh yang menyebut bagi pihak Manjeet Singh Dhillon merayu agar jaminan RM100,000 yang ditawarkan oleh Manoj.

"Jaminan yang ditawarkan adalah terlalu tinggi untuk tertuduh yang tidak lagi bekerja serta tidak melakukan apa-apa perniagaan," katanya dan menyifatkan jaminan yang terlalu tinggi akan bersifat sebagai 'hukuman' kepada tertuduh yang belum disabitkan bersalah.

Gurbachan juga memohon agar mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh telah dan mempunyai tiga orang anak yang berusia 2, 6 dan 9 tahun.

Asmadi menetapkan jaminan terhadap Abdul Kayum pada jumlah RM50,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan.

Kedua-dua kes terhadap Mohamad Daud dan Abdul Kayum akan disebut semula pada 2 Ogos depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain