suria

Tempoh Reman 30 Aktivis PSM Kekal 7 Hari

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini, Khamis menolak permohonan untuk memendekkan tempoh tahanan reman terhadap 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang diketuai anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj daripada tujuh hari kepada empat hari.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim memutuskan tempoh tahanan reman selama tujuh hari sejak Ahad lepas terhadap semua aktivis berkenaan dikekalkan kerana tindakan itu adalah betul, sah dan bersesuaian.

Katanya mereka ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 122, Kanun Keseksaan iaitu cuba memerangi Yang di-Pertuan Agong yang merupakan kesalahan yang amat serius.

"Ini berkaitan keselamatan negara, keselamatan saya, keselamatan awak, keselamatan anak saya, cucu saya dan keselamatan kita semua," kata Hakim Zamani.

Pada Rabu, 12 peguam diketuai Datuk C.V. Prabakaran yang mewakili kesemua aktivis PSM itu memohon untuk memendekkan tempoh tahanan reman 30 aktivis itu daripada tujuh hari kepada empat hari dan mahkamah menetapkan hari ini untuk menyampaikan keputusan.

Permohonan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed. -BERNAMA

Artikel Lain