suria

Serbu Gudang, Polis Temui 98 Kereta Mewah

KLANG: Polis menemui 98 buah kereta mewah semasa menyerbu sebuah gudang yang digunakan sebagai stor transit oleh satu sindiket curi kereta mewah yang digelar 'Black Water' di Kampung Black Water di Jalan Klang-Banting di sini, Rabu.

Dalam serbuan kira-kira 4 petang itu, polis menemui kereta mewah itu termasuk yang disimpan di dalam kontena untuk dieksport ke luar negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin.

Beliau berkata polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 20 dan 40 tahun, yang dipercayai anggota sindiket itu, dalam serbuan itu yang dilakukan selepas melakukan beberapa intipan.

"Siasatan mendapati kesemua kenderaan mewah yang disembunyikan di gudang itu akan diseludup ke Cyprus, Hong Kong, Thailand dan Dubai selepas dicuri di negara ini terutamanya di kawasan Lembah Klang," katanya pada sidang media di luar gudang berkenaan di sini, Khamis.

Antara kenderaan mewah itu ialah Honda City (59), Toyota Hilux (22), Honda CRV (7), Toyota Rush (6), Honda Civic (2) dan masing-masing sebuah Toyota Fortuner dan Honda Accord.

Bakri berkata siasatan polis turut mendapati sindiket berkenaan dipercayai telah menyeludup 456 buah kereta mewah bernilai RM49 juta ke Dubai dan beberapa negara sejak Jun tahun lepas.

Katanya modus operandi sindiket itu ialah mendapatkan kenderaan mewah yang dicuri itu dari orang tengah sebelum disembunyikan dalam gudang berkenaan untuk dimasukkan ke dalam kontena sebelum dibawa keluar dari negara ini melalui Pelabuhan Klang.

"Sindiket ini akan mengisytiharkan barangan dalam kontena itu sebagai perabot dan hanya menyatakan jumlah barangan untuk dieksport pada borang kastam sebagai helah untuk mengelak dari dikesan," katanya.

Bakri berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Jun tahun lepas dan bedasarkan dokumen yang ditemui, sindiket terbabit menghantar 25 kenderaan jenis Honda City yang dipercayai dicuri ke Cyprus pada 24 Jun lepas.

Beliau berkata polis sedang memburu ketua sindiket itu dan saki baki anggotanya. "Kita telah kenal pasti identiti ketua sindiket ini dan akan menjejakinya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan haram pada 9 Julai ini, Bakri berkata sebanyak 125 kertas siasatan telah dibuka mengenainya.

Beliau berkata polis telah melakukan penyiasatan berdasarkan kira-kira 2,193 laporan polis yang dibuat terhadap penganjur perhimpunan itu sejak 9 Jun lepas.

Bakri berkata polis akan melakukan tindakan sewajarnya terutamanya bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin dari kumpulan yang hanya mahu menimbulkan kekecohan dan menganggu keamanan yang sedang dikecapi.

"Kita kena fikirkan keselamatan, polis bukan seronok-seronok mahu mengambil tindakan tapi tunjang utama kita ialah memastikan keselamatan rakyat dan negara," katanya.

Sehubungan itu, Bakri meminta supaya orang ramai tidak terbabit dengan perhimpunan haram itu bagi mengelak mereka dari berdepan dengan tindakan undang-undang. -BERNAMA

Artikel Lain