suria

Petronas Bayar Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri RM594.6 Bilion

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Petronas telah membuat pembayaran RM594.6 bilion kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam nentuk dividen, cukai, duti eksport dan perolehan petroleum semenjak penubuhannya sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac lepas.

Daripada jumlah itu, Perdana Menteri berkata RM65.7 bilion adalah pembayaran bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac tahun ini.

Sehingga Jun 2011 pula, Najib berkata, jumlah sumbangan Petronas kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) adalah sebanyak RM3.0 bilion dan dilaburkan di dalam pelbagai instrumen kewangan.

"Dana ini adalah aktif dan saiz dana KWAN kini berjumlah RM5.43 bilion," katanya dalam jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Nurul Izzah ingin tahu mengenai jumlah sumbangan Petronas kepada KWAN dan kesediaan kerajaan menetapkan 30 peratus keuntungan tahunan Petronas ke dalam sebuah tabung pendidikan kebangsaan untuk pemberian biasiswa.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata KWAN telah ditubuhkan untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber asli negara yang merosot supaya dapat memberikan sumber pendapatan yang berterusan dan stabil demi faedah generasi akan datang.

Pengurusan dan pentadbiran hal ehwal KWAN dipertanggungjawabkan ke atas Bank Negara Malaysia yang memastikan dana KWAN dilaburkan dengan wajar manakala operasi kumpulan wang itu diselia oleh Panel KWAN, katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak bercadang menubuhkan tabung pendidikan baharu seperti tabung pendidikan kebangsaan kerana pemberian biasiswa atau pinjaman adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

"Kerajaan pada masa ini juga telah menyediakan dana bagi tujuan pendidikan negara di bawah agensi tertentu seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain