suria

Malaysia Anjur Sidang Kemuncak Lingkungan Pasifik Mengenai Industri Bioteknologi Dan Biotenaga

WASHINGTON: Malaysia mencapai kejayaan cemerlang dengan membawa acara tahunan Sidang Kemuncak Lingkungan Pasifik mengenai Industri Bioteknologi dan Biotenaga, ke tanah air pada November ini, yang dianjurkan buat julung kali di luar Amerika Syarikat sejak penubuhannya.

Sidang Kemuncak Pasifik keenam, yang dianjurkan oleh Biotechnology Industry Organisation (BIO) yang berpusat di Amerika Syarikat, akan diadakan bersempena BioMalaysia 2011 dari 21-23 Nov di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) dan BIO kerana berjaya membawa kedua-dua acara itu ke Kuala Lumpur, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penganjuran acara global itu akan menyediakan wadah kepada peserta dan kalangan profesional industri dalam lingkungan Malaysia, Asia serta Amerika untuk berkongsi kepakaran dan pandangan berhubung trend dan perkembangan terkini dalam bioteknologi.

"Kita semestinya dapat mengharapkan perbincangan yang mendalam, penyelesaian inovatif, kerjasama serantau dan global serta sesi jalinan perniagaan yang dinamik," kata beliau sambil menjemput bakal peserta dan pelabur pada acara pembuka tirai BioMalaysia dan Sidang Kemuncak itu, di sini Rabu.

Muhyiddin berkata ketika BioMalaysia 2011 memberi tumpuan terutamanya kepada pertanian dan penjagaan kesihatan dalam bidang seperti teknologi makanan ternakan, pembangunan modal insan, pengkomersialan, pembiayaan akses pasaran dan model perniagaan baru, Sidang Kemuncak itu pula akan tertumpu kepada industri bioteknologi dan biotenaga di seluruh Asia dan negara-negara membangun.

BioMalaysia mendapat pengiktirafan sebagai acara bioteknologi terbesar di Asia dan melakar nama sebagai tempat pertemuan utama bagi kalangan profesional industri di rantau ini.

Sidang Kemuncak Lingkungan Pasifik mengutarakan program seperti pembangunan ekonomi berasaskan bio dan penggunaan sumber biomas, teknologi algae, sumber bio marin, bio bahan api lanjutan, hidrokarbon boleh diperbaharui, biopolimer dan bioplastik, tanaman penghasil tenaga, kimia mesra alam, biologi sintetik dan isu lain berkaitan bio.

Bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja empat hari beliau ke Washington, Muhyiddin berkata nama-nama besar dalam industri bioteknologi akan berkunjung ke Malaysia tahun ini memandangkan Sidang Kemuncak Lingkungan Pasifik akan diadakan di Kuala Lumpur.

"Ia satu pencapaian yang cemerlang bagi Malaysia kerana berjaya membawa yang terbaik. Ini melambangkan satu lagi tahap keyakinan oleh Amerika terhadap Malaysia. Mereka memuji Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana pendekatan yang positif," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain