suria

Mahkamah Tinggi PP Tolak Permohonan 30 Anggota PSM Semak Semula Perintah Reman Ke Atas Mereka

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak permohonan oleh 30 anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, agar tahanan reman mereka selama tujuh hari disemak semula.

Hakim, Datuk Zamani A. Rahim bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen Butterworth untuk mengeluarkan arahan reman berkenaan bersesuaian dengan peruntukkan di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan.

"Kesalahan di bawah seksyen ini adalah sesuatu yang serius kerana ia melibatkan keselamatan negara, keselamatan saya, keselamatan anda semua, keselamatan anak-anak saya, keselamatan cucu-cucu saya dan juga keselamatan kita semua," tegasnya.

Hakim Datuk Zamani membuat keputusan demikian selepas mendengar hujah-hujah para pendakwaraya dan 12 peguam yang diketuai oleh Datuk C.V. Prabakaran yang mewakili para aktivis yang ditahan polis itu.

Sabtu lalu, polis telah menahan aktivis PSM berhampiran Plaza Tol Sungai Dua Seberang Perai dalam satu sekatan jalan raya kerana disyaki cuba menghidupkan semula ideologi komunisma.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, polis telah menemui bahan risalah dan juga bahan bercetak termasuk kemeja-t yang tertera wajah dan nama para pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan seperti Chin Peng dan Rashid Mydin bersama-sama kumpulan yang ditahan itu.

Artikel Lain