suria

Khalwat: Razak Ahmad Diarah Bela Diri

PETALING JAYA: Selepas lima tahun dibicarakan, pelakon dan penyanyi, Razak Ahmad akhirnya diarahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu pada Khamis, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya mewujudkan kes terhadap Razak, 44, yang boleh disabitkan bersalah jika gagal mematahkan pertuduhan terbabit.

Beliau seterusnya menetapkan 15 September depan sebagai tarikh untuk pelakon watak Tok Imam di dalam drama Geng Surau itu membela diri.

Peguam syarie, Mohamad Azman Karim seterusnya memberitahu, anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad didakwa berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 14 September 2006, Selamah yang mengusahakan perniagaan butik, mengaku bersalah dan didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda itu.

Fakta kes yang dibacakan kepada Selamah menyatakan bahawa, Razak sedang tidur dengan hanya berseluar jeans di dalam bilik pertama rumah berkenaan.

Perbicaraan melibatkan lima saksi pendakwaan, termasuk suami kepada Selamah, Shamsuddin Sulaiman, 48, seorang pensyarah selaku saksi pertama.

Pada penghakimannya, Wan Mahyuddin berkata, beliau berpuas hati bahawa pendakwaan yang diwakili oleh Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli telah berjaya membuktikan empat elemen dalam pertuduhan khalwat.

Elemen tersebut adalah tarikh dan masa kejadian, tempat kesalahan, bahawa tertuduh berada dengan wanita yang bukan mahramnya serta berada dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak.

“Berdasarkan keterangan Shamsuddin jelas menunjukkan bahawa Selamah bukanlah isteri atau mahram kepada tertuduh.

“Dalam kes ini, hanya tertuduh dan Selamah yang berada di rumah dalam keadaan tertuduh tidak berbaju.

“Pada mahkamah, ia adalah keadaan timbulnya syak bahawa berlaku sesuatu perkara yang tidak bermoral,” katanya.

Wan Mahyuddin juga menolak isu yang dibangkitkan oleh peguam syarie Razak, mengenai tangkapan itu atas alasan ia dilakukan oleh polis berpangkat Lans Koperal dan bukannya oleh seorang pegawai.

Beliau memutuskan bahawa perkara tersebut tidak menjejaskan pertuduhan khalwat.

“Mahkamah berpuas hati bahawa tangkapan dilakukan oleh mereka yang berkelayakan dan diberikan kuasa mengikut undang-undang untuk membuat sesuatu tangkapan,” katanya.

Razak, yang pernah popular menerusi lagu Pagar Padi yang tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992 hadir berseorangan di mahkamah.

Artikel Lain