suria

Kes Saman Kerajaan Kelantan Terhadap Petronas 29 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menetapkan 29 Julai ini sebagai pengurusan kes dalam saman yang difailkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi menuntut tunggakan royalti minyak yang didakwa tidak dibayar sejak tahun 1998.

Tarikh tersebut ditetapkan selepas Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof berjumpa dengan Peguam Kanan Persekutuan, Noor Hisham Ismail dan Peguam Rishwant Singh.

Noor Hisham hadir bagi mewakili Kerajaan Persekutuan yang memperoleh kebenaran untuk menjadi pencelah dalam saman tersebut manakala Rishwant mewakili Petronas.

Pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Kelantan yang diwakili oleh Menteri Besarnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat memfailkan saman itu kerana mendakwa Petronas telah melanggar kontrak Perjanjian Petroleum Kelantan berhubung pembayaran royalti.

Plaintif mendakwa, perjanjian bertarikh 9 Mei 1975 itu telah ditandatangani oleh Datuk Mohamed Nasir selaku Menteri Kelantan semasa itu dan Tengku Razaleigh Tengku Hamzah yang merupakan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas pada masa tersebut.

Kerajaan Negeri Kelantan itu seterusnya mendakwa, berdasarkan perjanjian itu, Petronas perlu membayar secara tunai bagi 5 peratus daripada pengeluaran minyak sama ada daripada cari gali di pesisir atau luar pesisir.

Dakwanya lagi, satu klausa dalam perjanjian itu menyatakan pembayaran perlu dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac, atau pada atau sebelum 1 September.

Plaintif juga mendakwa, Klausa 3 perjanjian itu menyatakan pembayaran perlu diteruskan sehingga deposit minyak yang diperoleh dari negeri itu telah habis.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan secara salah telah gagal untuk memberi apa-apa maklumat tentang aktiviti cari gali, takat pengeluaran mahupun membuat bayaran-bayaran tunai berhubung petroleum yang diperoleh.

Dakwanya lagi, Menteri Besar Kelantan telah menulis kepada Ketua Eksekutif Petronas meminta supaya pembayaran dibuat menerusi surat pada 31 Disember 2009 yang mana balasan yang diterima pada 2 Februari dan 12 April 2010 menyatakan Kerajaan Negeri tidak berhak untuk menerima apa-apa bayaran tunai.

Justeru itu, plaintif mendakwa Petronas telah melanggar perjanjian kerana enggan membuat bayaran dan masih secara salah mendapatkan dan memperoleh petroleum serta secara alternatif telah secara tidak adil mendiskriminasikan kerajaan Kelantan yang dikuasai oleh Pas yang merupakan parti politik pembangkang.

Tindakan Petronas didakwa menyebabkan kerugian kewangan yang teruk kepada Kelantan yang akan berterusan sedemikian dan Kelantan tidak menerima layanan yang saksama dengan Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Sehubungan itu, plaintif menuntut Pelaksanaan Spesifik Perjanjian Petroleum Kelantan dan supaya Petronas membuat pendedahan berhubung fakta berkaitan tempoh petroleum dikeluarkan, kawasan petroleum diperoleh dan bayaran tunai yang perlu dibayar kepada Kelantan.

Plaintif juga menuntut perintah supaya semua tunggakan pembayaran tunai hendaklah dibayar dalam tempoh sebulan daripada tempoh mahkamah, ganti rugi-ganti rugi, faedah ke atas semua jumlah yang diperintahkan dibayar pada kadar 8 peratus bagi tempoh yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Selain itu, plaintif juga menuntut perintah supaya semua pembayaran tunai pada masa hadapan dibayar kepada Kelantan bagi petroleum yang dikeluarkan di luar pantai Kelantan menurut terma-terma Perjanjian Petroleum Kelantan dan Akta Kemajuan Petroleum, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel Lain