suria

Hindraf Gagal Cabar Keputusan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Penaja Hindraf Makkal Shakti (Hindraf), P. Ramesh pada Khamis, gagal dalam percubaannya untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar dan mengenepikan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga lagi responden yang tidak membenarkan persatuan itu didaftarkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Selain Perdana Menteri, turut dinamakan sebagai responden ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudddin Tun Hussein; Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Pendaftar Wilayah Persekutuan.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini, Abang Iskandar Abang Hashim menolak permohonan itu dengan kos sebanyak RM3,000 pada prosiding yang dijalankan di dalam kamar.

Kos tersebut perlu dibayar kepada Jabatan Peguam Negara.

Semasa ditemui, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden, Noor Hisham Ismail berkata, mahkamah menyifatkan permohonan itu sebagai remeh-temah, selain ROS masih belum membuat sebarang keputusan berkaitan pendaftaran parti itu pada peringkat ini.

Sementara itu, peguam M. Manoharan yang mewakili Ramesh berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Ramesh yang beralamat di Ipoh, Perak, memfailkan permohonan itu pada 25 Mei lalu bagi memohon perintah mandamus untuk mengarahkan responden membenarkan permohonannya supaya Hindraf diluluskan dan didaftarkan sebagai NGO.

Berdasarkan alasan permohonan Ramesh yang diikrarkan pada 24 Mei lalu, dia mendakwa responden telah gagal atau enggan atau cuai untuk meluluskan permohonan daripada pihak pemohon untuk mendaftar sebagai sebuah NGO yang dihantar pada 2 Oktober 2009.

Pemohon seterusnya mendakwa, pihaknya sekali lagi menghantar permohonan dengan melampirkan semua dokumen yang dikhendaki oleh responden pada 23 Mac 2011 yang dikatakan turut tidak diluluskan.

Selain itu, pemohon juga mendakwa tindakan responden tidak meluluskan permohonan tersebut adalah dibuat dengan niat jahat kerana mendakwa responden telah meluluskan 46,870 permohonan NGO lain, tetapi enggan meluluskan permohonan pemohon.

Artikel Lain