suria

Helikopter Milik Weststar Lakukan Pendaratan Cemas, Tiga Kru Selamat

KUALA LUMPUR: Tiga kru Weststar Aviation Services mengalami detik cemas apabila helikopter jenis AgustaWestland AW139 yang mereka naiki mengalami masalah ketika berada pada ketinggian 15 meter berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pagi Khamis.

Ketiga-tiga mereka iaitu juruterbang, Kapten Syahfrilhaidi Abdul Rahman, 38, pembantu juruterbang, Kapten Nor Azhari Mat Yunos, 35 dan jurulatih juruterbang, Kapten Mohd Zamri Mohamed, 44, bagaimanapun hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas helikopter itu melakukan pendaratan secara pra-kawalan.

Pengarah Urusan Weststar Aviation Services Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 8.17 pagi ketika ketiga-tiga mereka sedang menjalani latihan penerbangan di lapangan terbang tersebut.

"Ketika terbang pada ketinggian 15 meter, helikopter itu dikesan mengalami kerosakan dan mereka terus memaklumkan kepada pengawal lapangan terbang untuk melakukan pendaratan secara pra-kawalan.

"Punca kerosakan pada helikopter itu akan disiasat oleh Weststar dan Jabatan Penerbangan Awam," kata Syed Azman kepada pemberita di pejabatnya di Jalan Ampang di sini pada Khamis.

Katanya sebagai langkah keselamatan semua penerbangan sembilan buah helikopter AgustaWestland AW139 akan diberhentikan sementara sehingga siasatan punca kerosakan diketahui lewat petang ini.

Menurut Syed Azman, helikopter tersebut baru dibeli pada tiga bulan lepas dari Itali serta juruterbang yang memandu juga adalah seorang yang berpengalaman dan kejadian tersebut adalah pertama kali berlaku.

Helikopter itu yang boleh memuatkan seramai 15 penumpang digunakan untuk menghantar pekerja ke Kerteh, Terengganu dan Kota Baharu, Kelantan untuk memberi perkhidmatan servis terhadap tujuh syarikat minyak dan gas di sana. - BERNAMA

Artikel Lain