suria

Bersih: PAS Tetap Ambil Bahagian Tapi Jamin Tiada Sebarang Provokasi Oleh Ahli-Ahlinya

KUALA LUMPUR: PAS pada Khamis mengesahkan bahawa mereka akan tetap mengambil bahagian dalam perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini biarpun polis telah mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menyertai perhimpunan haram tersebut.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa ahli-ahli parti itu tidak akan melakukan sebarang provokasi ketika demonstrasi tersebut dijalankan.

Beliau menegaskan, sekiranya timbul provokasi daripada ahli-ahli parti itu, maka pihak polis boleh mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

"Kita ingin tegaskan sekali lagi, PAS akan tetap bersama Bersih. Kita beri jaminan 100 peratus ahli-ahli kita tidak akan timbulkan provokasi dan kekacauan.

“Polis boleh ambil tindakan atau menahan ahli PAS yang buat kacau seperti membakar kereta atau melempar batu. Kita tidak akan membela mereka kalau betul ahli PAS bertindak ganas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PAS di sini, Khamis.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi amaran keras bahawa pihaknya akan menggunakan semua langkah pencegahan yang ada untuk memastikan perhimpunan haram Bersih 2.0 tidak akan berlangsung.

Ini kerana katanya, polis telah mengumpul maklumat yang menunjukkan bahawa terdapatnya elemen dalaman dan asing yang akan mencetuskan huru-hara sewaktu perhimpunan itu nanti.

Ismail untuk kesekian kalinya, mengingatkan semua pihak tidak kira dari mana-mana persatuan sekali pun tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini.

Mengulas lanjut mengenai Perhimpunan Bersih, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata ribuan ahli PAS akan menyertai perhimpunan itu nanti.

"Saya tidak ada angkanya, tapi kita jangka ramai ahli kita yang akan hadir.

"Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Mursyidul Am (Datuk Nik Aziz Nik Mat) dan Ketua Dewan Ulama (Datuk Harun Taib) telah mengeluarkan arahan supaya ahli turun menyertai perhimpunan itu... kita tidak ada pilihan melainkan menyertai perhimpunan ini," katanya.

Ditanya apa yang akan dilakukan sekiranya Bersih membatalkan perhimpunan itu, Mohamad berkata perkara tersebut terpulang kepada gabungan itu kerana mereka merupakan sebuah badan bebas.

“Kita akan tentukan apa yang perlu dilakukan seterusnya nanti,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak polis menyiasat sebuah pertubuhan yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan mahu menimbulkan huru-hara sekiranya Perhimpunan Bersih diteruskan.

“Saya mahu polis dengan serius menyiasat sebuah pertubuhan yang mendakwa akan berlaku 'pertumpahan darah' jika Bersih diteruskan. Perkataan seumpama ini berbaur hasutan dan tidak wajar," katanya.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan bahawa Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) memberi amaran kepada penganjur Bersih supaya membatalkan hasratnya itu jika tidak mahu 'berperang' dengan pengamal seni silat di negara ini.

Mahagurunya, Tan Sri Omardin Mauju dilaporkan berkata, mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak keras ke atas golongan yang cuba menimbulkan kekacauan serta huru-hara.

Beliau turut menasihatkan penganjur Bersih, Datuk S.Ambiga supaya membatalkan segera hasrat menganjurkan perhimpunan itu kerana khuatir tidak akan dapat mengawal emosi anak-anak didiknya jika mereka bertembung pada perhimpunan itu nanti.

Artikel Lain