suria

Bersih: KPN Belum Buat Keputusan Laluan Alternatif Perarakan

PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga pada Khamis mengadakan pertemuan empat mata selama setengah jam bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi membincangkan laluan alternatif bagi perarakan pada 9 Julai ini.

Ambiga berkata, laluan lain diperlukan bagi mengelakkan pertembungan dengan dengan kumpulan lain yang turut berhimpun.

Bagaimanapun beliau berkata, Ismail tidak memberikan sebarang reaksi mengenai cadangan itu.

“Beliau tidak kata tidak, tapi saya sedia untuk menghubungi atau mengadakan pertemuan lagi dengan KPN minggu depan," katanya kepada pemberita di Bukit Aman dekat sini.

Ambiga turut menekankan kepada Ismail bahawa perarakan secara aman itu adalah hak rakyat dan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Aktivis Maria Chin Abdullah, yang turut bersama-sama Ambiga berkata, pertemuan itu adalah untuk mencadangkan laluan lain dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya.

“Kami memerlukan laluan lain bagi memastikan keselamatan peserta perarakan," katanya kepada The Star.

Katanya, pada perjumpaan seterusnya, mereka mahukan reaksi daripada Ismail berkaitan cadangan berkenaan.

“Kami dah bagi tau secara lisan dan akan menulis kepadanya" tambahnya.

Perarakan Bersih dijangkakan bermula di masjid Kampung Baru, Sogo Mall dan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ke Istana Negara.

Perkasa, Pemuda Umno dan beberapa NGO merancang menyekat perarakan anti-Bersih.

Artikel Lain