suria

Bekas PTD Jeneral Zain Hashim Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat Jeneral (B) Tan Sri Zain Hashim meninggal dunia di Hospital Serdang pada 3.50 petang, Khamis akibat sakit tua.

Allahyarham berusia 81 tahun.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Tropicana Indah, Kota Damansara dan disembahyangkan di Masjid Kota Damansara dan telah dikebumikan pukul 10 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Puan Sri Salifah Mohd Esa dan dua anak, iaitu Zubaidah dan Zainul Bahrain.

Allahyarham dilantik sebagai jeneral dan menyandang jawatan Panglima Tentera Darat (PTD) kelapan dari 20 Jan 1981 sehingga bersara dari perkhidmatan tentera pada 15 Jan 1984.

Sementara itu, Zainul Bahrain, 38, berkata bapanya dimasukkan ke Hospital Selayang sejak sebulan lalu serta mula menunjukkan perubahan Jumaat lepas, dan doktor turut mengesahkan kesihatan beliau sukar pulih.

"Cuma semangat juang yang tinggi menyebabkan arwah bertahan sehingga beliau menghembuskan nafas di pangkuan keluarga petang tadi," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan.

Turut hadir memberi penghormatan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah dilantik mengetuai pasukan petugas khas yang dibentuk bagi mencorak semula Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) pada Oktober 2001 oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, ekoran prestasi hambar atlet olahraga pada Sukan SEA sebulan sebelum itu.

Artikel Lain