suria

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Berpakaian Kuning

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada Khamis berpakaian dan bertali leher kuning pada persidangan Dewan Rakyat, sebagai tanda menyokong perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.

Mereka yang memakai tali leher kuning ialah Lim Kit Siang (Ipoh Timur), Charles Santiago (Klang), Tian Chua (Batu), Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Turut tidak ketinggalan, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Zuraida Kamaruddin (Ampang) yang memakai baju kurung berwarna kuning.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata mereka bertindak sedemikian sebagai membantah larangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein terhadap pemakaian baju-T Bersih atau apa saja pakaian berwarna kuning.

"Kami hanya ingin menyuarakan tuntutan terhadap pilihan raya yang telus dan adil di negara ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Khamis.

Sementara itu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata mereka bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas polis kerana merampas barang-barang yang ada kaitan dengan perhimpunan Bersih.

"Kami berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah kerana pemakaian baju-T Bersih tidak melanggar mana-mana undang-undang di negara ini," katanya.

Artikel Lain