suria

Tmn Tasik Perdana Kini Dikenali Tmn Botani Perdana

KUALA LUMPUR: Taman Tasik Perdana di ibu negara yang sudah berusia 122 tahun pada Selasa dirasmikan semula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan nama baru iaitu Taman Botani Perdana.

Najib turut mengumumkan projek transformasi taman tasik itu sebagai agenda nasional untuk memastikan taman berkenaan yang kaya dengan flora pelbagai spesis menjadi taman botani bertaraf dunia.

Taman tasik itu yang wujud sejak tahun 1888 telah selesai menjalani fasa pertama pengubahsuaiannya tahun lepas.

"Saya turut berpuas hati dengan tugas yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berjaya menyiapkan tugas baik pulih taman ini hanya dalam tempoh enam bulan selepas mendapat arahan kabinet sekitar Feb tahun lepas," kata Najib ketika berucap merasmikan taman itu di bahagian Laman Perdana, Taman Tasik Perdana di sini. Najib berkata, taman itu turut mengimbau kenangan ketika beliau masih kecil kerana beliau dibesarkan berhampiran kawasan taman tasik itu iaitu di Sri Taman yang merupakan kediaman rasmi Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

"Pada waktu itu, air tasik di sini juga tidak seperti sekarang. Satu ketika warnanya seakan "teh susu" tapi sekarang semuanya sudah berubah dan airnya kini semakin bersih dan berada pada tahap 2 setelah dipulihkan.

Menurut Najib, selepas ini taman itu akan terus diperindahkan dengan Fasa Kedua dan Ketiga yang melibatkan pembinaan beberapa infrastruktur dan beberapa tarikan baru yang lebih menarik untuk dikunjungi pelancong.

Perdana Menteri juga berkata, taman botani adalah antara simbol keunikan sesebuah negara yang dijaga dan dipelihara sehingga menjadi ikon alam sekitar.

"Di kebanyakan negara maju, taman botanikal atau taman rekreasi yang indah merupakan suatu kemestian dalam landskap sebuah ibu kota seperti Hyde Park dan Kew Gardens di London, Central Park di New York dan The Royal Botanical Gardens di Melbourne.

"Saya percaya dengan adanya Taman Botani Perdana yang baru ini akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke negara ini terutamanya dari luar negara," katanya.

Najib berkata, inisiatif itu juga adalah untuk memberikan kualiti hidup yang lebih baik untuk penduduk warga kota dalam bentuk landskap alam sekitar yang indah untuk beriadah.

"Kita berharap warga kota dapat menikmati kualiti hidup sebaik mungkin, dan kita akan berusaha untuk pelihara alam sekitar supaya Malaysia dapat menjadi antara negara yang memiliki kualiti udara terbaik di dunia," katanya.

Pengubahsuaian Taman Tasik Perdana yang kini dikenali dengan Taman Botani Perdana selepas Fasa Pertama menelan kos sebanyak RM18 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail yang turut hadir berkata DBKL menerima sumbangan kira-kira RM12 juta daripada syarikat swasta untuk kerja-kerja pengubahsuaian manakala DBKL hanya mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM6 juta sahaja.

Taman Tasik Perdana dahulunya diilhamkan oleh Residen British A.R Venning pada tahun 1888 dengan nama Sydney Lake tetapi kemudian dinaik taraf oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1975 dan ditukar namanya ke Taman Tasik Perdana.

Sehingga kini, taman itu memiliki keluasan sehingga 101.12 hektar dan telah diwartakan sepenuhnya bagi tujuan taman awam.

Artikel Lain