suria

Saman Terhadap 'Pegawai Khas PM' 20 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, menetapkan 20 Julai ini untuk pengurusan kes saman sebuah syarikat terhadap seorang lelaki yang diperkenalkan sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri, berhubung projek pasir.

Saman tersebut difailkan oleh sebuah syarikat yang beralamat di Johor, Nice Garden Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Hasan Ayoub, 58, yang dikatakan bekerja di Jabatan Perdana Menteri, dan tiga lagi defendan.

Tiga defendan itu adalah sebuah syarikat di Saujana Damansara, dekat sini, Infra Penaga Sdn Bhd; dan dua individu iaitu Datuk Abdul Samad Othman, 50, dan Adnan Shah Che Yusoff, 54.

Saman tersebut difailkan pada 10 Mei lalu.

Pada prosiding itu, peguam Muhammad Fauzi Abddullah yang mewakili Nice Garden selaku plaitif berkata, saman tersebut adalah bagi menuntut RM250,000 dari semua defendan yang didakwa telah dibayar sebagai bayaran deposit untuk menjayakan usaha sama projek pengeluaran pasir.

"Bagaimanapun, di pertengahan jalan, plaintif mendapati defendan telah memalsukan surat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan disebabkan itu, plaitif tidak dapat meneruskan projek itu," katanya dan menambah, wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Hasan.

Pada prosiding di mahkamah terbuka itu juga, Muhammad Fauzi berkata, Hasan telah diperkenalkan kepada plaintif sebagai seorang pegawai khas kepada Perdana Menteri.

"Namun begitu, kami tidak dapat memastikan perkara itu," katanya.

Peguam Darshan Singh Sandhu yang mewakili Hasan, Infra Penaga dan Adnan Shah juga berkata, beliau tidak dapat memberikan kepastian berhubung jawatan yang didakwa dipegang oleh anak guamnya.

"Saya hanya difahamkan beliau bekerja di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Beliau seterusnya memberitahu, anak guamnya bersetuju untuk membayar semula wang yang dituntut oleh plaintif, tetapi tidak dapat mencapai persetujuan dengan plaintif berhubung cara pembayaran.

"Kami tidak mempunyai sebarang isu berhubung jumlah tuntutan. Bagaimanapun, plaintif mahu agar bayaran dibuat sekaligus, tetapi defendan hanya boleh menjelaskannya secara ansuran sebanyak tiga kali," katanya.

Menjelaskan perkara itu, Muhammad Fauzi berkata: "Anak guam saya berasakan dia telah ditipu sebelum ini, maka bagi tujuan penyelesaian, kami mengambil langkah-langkah munasabah untuk mengelakkan daripada ditipu lagi.

"Disebabkan itu, kami mahu agar pembayaran dibuat sekali sahaja."

Hakim V.T Singham seterusnya menetapkan tarikh baru sebagai pengurusan kes memandangkan kes itu tidak dapat diselesaikan.

Beliau juga menetapkan agar plaintif dan defendan memfailkan ikatan dokumen masing-masing pada atau sebelum 13 Julai ini, dan sekiranya tiada penyelesaian dapat dicapai, tarikh perbicaraan akan diberikan pada tarikh akan datang.

Hakim juga menetapkan 6 Julai ini untuk peguam plaintif memfailkan permohonan penyampaian ganti kepada Abdul Samad, ekoran dakwaan tiada maklum balas diterima meskipun saman telah diserahkan.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, defendan-defendan telah mengajak plaitif untuk mengadakan kerjasama dalam melaksanakan projek pasir itu dan atas kepercayaan itu, plaintif mendakwa, telah bersetuju dalam satu perjanjian usahasama bertarikh 20 Ogos 2010.

Plaintif seterusnya mendakwa, defendan telah memintanya untuk menjelaskan wang tersebut sebagai Deposit Penyertaan Kontrak kepada Hasan sebagai penerima lesen projek pasir itu.

Seterusnya plaintif mendakwa, mula berasa curiga dan hilang keyakinan terhadap defendan apabila tiada sebarang tindakan dilakukan oleh defendan, meskipun setelah beberapa bulan perjanjian dibuat.

JAS juga dakwa plaintif, berdasarkan surat bertarikh 27 Ogos 2010 telah memaklumkan bahawa surat kelulusan projek pasir yang didakwa dikeluarkan atas nama Hasan, sebenarnya adalah palsu.

Akibat daripada tindakan defendan, plaintif mendakwa pihaknya telah mengalami kerugian berjumlah RM250,000 yang dibayar kepada Hasan, selain mengalami kerugian terhadap segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan mereka.

Sementara itu, Darshan semasa ditemui oleh pihak media, enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut.

Artikel Lain