suria

Rumah Bagi Golongan Berpendapatan Sederhana

PETALING JAYA: Golongan berpendapatan sederhana yang belum mempunyai rumah berpeluang untuk memiliki rumah sendiri apabila kerajaan memperkenalkan insentif baru untuk membina pangsapuri berharga kurang daripada RM300,000 di kawasan lembah Klang pada tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.

Skim mampu milik itu merupakan tambahan kepada Skim Rumah Pertamaku yang diperkenalkan bagi rumah yang berharga di antara RM100,000 dan RM220,000.

Ini bakal memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM6,000 sebulan untuk memiliki rumah sendiri.

“Kerajaan akan melakukan apa sahaja yang boleh bagi memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah dan golongan berpendapatan sederhana mempunyai peluang untuk membeli aset mereka sendiri,” katanya dalam satu temubual bersama The Star baru-baru ini.

Chee Heung berkata mengikut cadangan unit pangsapuri yang akan dibina mempunyai keluasan sekitar 850 hingga 1,000 kaki persegi dengan minimum tiga bilik.

Harga siling bagi rumah tersebut di bandar raya seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Baru ialah RM300,000 sementara di negeri-negeri lain harga yang ditawarkan adalah lebih rendah.

Artikel Lain