suria

Tuduhan PSM Agen PKM Tidak Berasas - Aruchelvan

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan tuduhan kerajaan bahawa PSM merupakan agen kepada Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai tidak berasas kerana barang yang dijumpai bersama 30 aktivis yang ditahan pada hujung minggu baru ini mudah diperolehi tanpa sebarang sekatan.

Setiausaha Agung PSM, S.Arutchelvan berkata, sepatutnya pihak polis tidak boleh terus menuduh PSM mengamalkan fahaman komunis kerana ramai lagi orang di luar memiliki barangan tersebut.

"Semua orang kenal dengan Chin Peng, Rashid Mydin, Suriani dan Abdullah CD. Mereka ini ada dalam sejarah.

"Kerajaan sendiri telah manandatangani perjanjian damai dengan PKM pada 1989. Kenapa kerajaan membangkitkan isu ini semula?," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Isnin.

Menurut Arutchelvan, PSM adalah sebuah parti berdaftar yang menjalankan aktiviti secara sah dan kewujudannya diketahui umum.

"PSM juga mengiktiraf sumbangan parti kiri sebelumnya yang telah menyumbang kepada kemerdekaan negara seperti PKMM, API, AWAS dan PKM.

"Cubaan polis yang sering melabel parti lain sebagai ejen PKM adalah satu taktik lama dan sudah basi," ujarnya.

Arutchelvan berkata, dakwaan kerajaan yang mengatakan PSM cuba menghidupkan semula fahaman komunis merupakan satu taktik untuk menakutkan orang ramai menjelang perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Katanya, seramai 30 aktivis yang ditahan di Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang pada Sabtu sebenarnya terlibat dengan 'Kempen Udahlah, Bersaralah' yang tiada kaitan dengan perhimpunan Bersih.

"Ia tiada kaitan dengan Bersih meskipun kami menyokong Bersih.

"Kami dituduh mahu melancarkan perang ke atas Agong kerana memiliki kemeja-T dan risalah yang tertulis nama Chin Peng serta Rashid Mydin," tambahnya.

Sementara itu Presiden PSM Dr Mohd Nasir Hashim berkata, kemeja-T yang tertulis nama Chin Peng ada dijual di merata-rata tempat setelah sekian lama.

“Mengaitkan PSM sebagai parti komunis merupakan tindakan tidak masuk akal kerana barangan yang dijumpai itu kini dijual secara terbuka termasuk di pasar malam," katanya.

Beliau turut menggesa polis untuk membebaskan semua aktivis yang ditahan dengan segera tanpa dikenakan sebarang dakwaan.

Artikel Lain