suria

Tiong Letak Jawatan Selepas Skandal PKFZ Timbul

SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing telah meletak jawatan sebagai pengarah dalam syarikat terbabit selepas skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mula diperkatakan.

KDSB merupakan syarikat kontraktor pembinaan PKFZ.

Projek PKFZ yang dibina di tapak seluas 400 hektar berhampiran Pelabuhan Barat, Pulau Indah, dekat sini sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion

Penolong Pendaftar, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Salmah Hanum Ibrahim, 31, berkata, berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh KDSB, Tiong meletakkan jawatan pada 9 Jun 2010.

Selain itu, Tiong turut meletakkan jawatan yang dipegangnya dalam sebuah lagi syarikat pembinaan, Wijaya Baru Sdn Bhd pada 8 Jun 2010.

Salmah yang merupakan saksi pendakwaan pertama dalam perbicaraan berkaitan skandal PKFZ berkata, KDSB dan Wijaya Baru mempunyai alamat berdaftar dan alamat perniagaan yang sama.

Alamat berdaftar syarikat berkenaan terletak di Kelana Jaya manakala alamat perniagaan di Jalan Templer, dekat sini.

Pada keterangan lain, Salmah yang mula berkhidmat di SSM sejak Oktober 2004 juga memberitahu bahawa dia telah menyerahkan dokumen berkaitan kes PKFZ kepada pihak polis.

"Maklumat yang dibekalkan adalah seperti cetakan maklumat korporat setakat 31 Mac 2011," katanya pada pemeriksaan utama oleh Ketua Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad.

Salmah sedang memberi keterangan terhadap bekas pengurus KDSB, Law Jenn Dong, 52; Ketua Pegawai Operasi KDSB, Steven Abok, 52, dan arkitek daripada BTA Architect, Bernard Tan Seng Swee, 49.

BTA Architect yang merupakan perunding PKFZ.

Law, Bernard dan Stephen mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada KDSB bagi dua projek di PKFZ.

Kesemua kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK, Ampang, antara 30 Jun 2006 dan 20 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga 29 tahun dan sebatan serta denda.

Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees iaitu dengan memperdaya OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrikal untuk sistem 33kv bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Law, Stephen dan Bernard juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Tindakan mereka itu didakwa telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta.

Selain itu, Stephen dan Bernard juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees dengan memperdaya OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan dan ini telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM5.42 juta kepada KDSB.

Perbicaraan hari pertama pada Selasa, ditangguhkan ekoran permohonan peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Law, atas alasan beliau memerlukan masa untuk meneliti 48 dokumen yang baru diterimanya.

Pada prosiding itu, Bernard diwakili oleh peguam Datuk V. Sithambaram manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Stephen.

Hakim Asmadi Hussin membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan bersambung pada Rabu.

Artikel Lain