suria

Tian Chua Mahu Khairy Beri Jaminan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mahu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa Himpunan Patriot (Patriot) yang akan diadakan pada 9 Julai ini bagi membantah perhimpunan Bersih akan dilakukan secara aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, Pengerusi Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum ini sudah pun memberi jaminan bahawa perhimpunan anjurannya itu nanti akan diadakan bagi menuntut pilihan raya telus dan adil, tanpa sebarang huru-hara.

"Jadi kumpulan Himpunan Patriot juga perlu menunjukkan komitmen yang sama dengan tidak menimbulkan kekecohan dan huru-hara," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Selasa.

Pada Ahad lalu, Pemuda Umno melancarkan Himpunan Patriot bagi membantah perhimpunan Bersih yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Tian Chua turut mengkritik tindakan sekumpulan penyokong Umno yang melakukan demonstrasi di hadapan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada malam Isnin yang mengugut akan membakar pejabat parti itu jika mereka enggan menarik balik sokongan terhadap perhimpunan Bersih.

"Dalam prinsip PKR, kami tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk melakukan demonstrasi jika mereka tidak bersetuju dengan dasar parti. Mereka berhak untuk berhimpun, protes di depan pejabat dan menghantar memo tetapi ugutan yang diterima daripada penyokong Pemuda Umno amat keterlaluan," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berasa kecewa kerana polis tidak mengambil tindakan sewajarnya ke atas sekumpulan penyokong Pemuda Umno yang mencetuskan kekecohan dan mengeluarkan ugutan kepada pemimpin PKR pada malam Isnin.

"Polis sepatutnya menahan penyokong itu di bawah akta sedia ada. Saya dapati wujud jurang yang terlalu besar dalam tindakan yang diambil terhadap penyokong Pemuda Umno dan penyokong Bersih.

"Ugutan untuk membakar ibu pejabat PKR tidak boleh diterima akal. Kita perlu bersama-sama untuk menghalang perkara itu daripada berlaku," katanya.

Jelas beliau, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bersikap lebih adil dalam menangani situasi seperti itu.

Artikel Lain